PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Turkiye belum bersedia mempertimbangkan permintaan Malaysia supaya negara itu menerima 10,000 pelarian Rohingya.

Penjelasan itu menyusul selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Turkiye bersetuju menerima pelarian berkenaan, sebelum Ankara menyangkal pengumuman itu.

Bercakap di Dewan Rakyat pagi ini, Anwar berkata dia menerima pengesahan terus daripada kerajaan Turkiye dua hari lalu mengenai pendirian negara itu.

Menurutnya, Turkiye memberi alasan sudah menampung lebih empat juta pelarian dari negara Arab dan negara jiran.

Dia menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri.

Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) pula mempersoalkan sama ada pengumuman Zahid menjejaskan hubungan dua hala, selain menyifatkan episod itu menjadikan Malaysia bahan ketawa di peringkat antarabangsa.

Menjawab soalan itu, Anwar berkata kenyataan Zahid dibuat dalam konteks usaha Malaysia mencari negara ketiga yang sanggup menerima sebahagian pelarian kerana kapasiti negara ini terhad.

"Saya tidak fikir perkara ini boleh dipanjangkan kerana pihak Turki telah menyatakan mereka tidak bersedia," katanya.

Anwar berkata dia akan memaklumkan perkembangan itu kepada kabinet pada Jumaat ini (27 Nov) manakala Kementerian Luar sudah mengambil maklum pendirian Turkiye.

Katanya, Malaysia akan terus mencari negara ketiga yang sanggup menerima pelarian, termasuk dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), namun usaha itu bergantung pada kesediaan negara berkenaan.

Dia mengulangi pendirian Malaysia tidak mampu terus menampung jumlah pelarian yang begitu besar.

Terdahulu, Anwar berkata Malaysia menampung hampir 200,000 pelarian dari Myanmar, termasuk Rohingya dan kumpulan etnik lain.

Dalam kenyataan pada Jumaat lalu (20 Nov), Zahid berkata Malaysia dan Turkiye bersetuju menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya di negara itu melalui program latihan kemahiran berstruktur.

Menurut Zahid, cadangan itu menyusul selepas lawatan kerja rasminya ke Turkiye baru-baru ini. Latihan selama tiga hingga enam bulan itu akan tertumpu pada kemahiran yang memenuhi keperluan industri negara berkenaan.

Bagaimanapun, hantaran itu dipadam daripada akaun media sosialnya kira-kira sejam kemudian.

Pada malam berikutnya (21 Nov), Pusat Memerangi Maklumat Palsu (DMM) di bawah Direktorat Komunikasi Presiden Turkiye menyifatkan dakwaan penempatan semula itu sebagai "tidak berasas".

Setiausaha akhbar Zahid, Shuhaimi Mohamed, sebelum ini berkata cadangan itu masih diusahakan, namun memerlukan penjelasan dan penyelarasan lanjut dengan pihak berkaitan.

ICJ putuskan Myanmar lakukan genosid

Susulan pengumuman Zahid pada 20 Nov, perkhidmatan bahasa Turki Euronews mempersoalkan sama ada perjanjian sudah dimuktamadkan, dengan mengetengahkan beberapa persoalan yang belum terjawab, termasuk pihak yang akan membiayai program itu, lokasi latihan dan sama ada peserta dibenarkan menetap secara tetap di Turkiye.

Kenyataan Zahid dibuat sehari selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap Rohingya di utara negeri Rakhine ketika operasi ketenteraannya pada 2017.

Bagaimanapun, Myanmar dilaporkan menyifatkan keputusan itu sebagai “tidak adil” dan “tidak sebulat suara”, manakala jurucakap presiden Khaing Khaing Soe menegaskan operasi ketenteraan berkenaan menyasarkan pemberontak dan bukannya orang awam.

Dia berkata kerajaan yang disokong tentera akan meneliti penghakiman itu.

Dalam keputusannya, ICJ mengarahkan Myanmar memberikan pampasan kepada mangsa dan mengambil langkah untuk mencegah pelanggaran lanjut.

Gambia memfailkan kes berkenaan pada 11 November 2019 dengan sokongan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Malaysia menurut Mekanisme Penyiasatan Bebas untuk Myanmar (IIMM) di bawah PBB.

Mahkamah Dunia itu mendapati kira-kira 10,000 Rohingya dibunuh dalam operasi ketenteraan pada 2017, selain keganasan seksual berleluasa dan keganasan melampau terhadap kanak-kanak.