Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar mencabar BN, khususnya Umno dan PN supaya mengisytiharkan pakatan politik mereka secara rasmi susulan kerjasama yang menewaskan PH pada PRN Melaka yang lalu.

Sambil menyifatkan kemenangan BN dan PN di Melaka membuktikan pasangan Umno dan PAS menemui semula keserasian politik setelah beberapa kali melalui episod nikah, cerai dan rujuk, Mahfuz berkata, mereka kini kembali bekerjasama kerana mempunyai musuh politik yang sama.

“BN dan PN sudah berwuduk bersama di peti undi Melaka. Tetapi kalau hubungan politik itu sudah sampai ke tahap bersekongkol untuk menewaskan PH, jangan sekadar berwuduk. Mandi wajiblah!

“Eloklah kena mandi wajib ibarat pasangan lepas berjimak dan bersihkan segala keraguan dengan mengisytiharkan secara rasmi pakatan politik baru antara BN dengan PN!” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, BN dan PN tidak wajar lagi bermain tarik tali politik dengan menentang PH di peringkat negeri, namun dalam masa sama masih kekal sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

“Kalau sudah memilih pasangan politik yang baru, jangan terus berpura-pura setia kepada pasangan yang lama.

“Umno ibarat tetamu yang masih makan dan tidur di rumah Kerajaan Madani, tetapi pada waktu yang sama berkomplot dengan jiran untuk merobohkan rumah yang sedang didiaminya.

“Lebih malang, apabila rumah mula bergoncang, perdana menteri pula yang diminta bertanggungjawab,” katanya.

Mohamed Khaled bin Nordin

Mahfuz turut mempersoalkan kenyataan Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, yang menyerahkan keputusan mengenai pembubaran, pemecatan atau penggantungan pemimpin parti itu dalam kerajaan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Sejak bila perdana menteri perlu membuat keputusan bagi pihak Umno?

“Bukankah Umno mempunyai presiden, majlis tertinggi dan kepimpinan sendiri?” soalnya yang turut menujukan pertanyaan itu kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Mahfuz mendesak kepimpinan Umno supaya mempunyai keberanian politik untuk menentukan hala tuju sendiri dan tidak bersikap dua wajah antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Menang di Melaka, jangan pula malu mengaku siapa kawan. Kalau sudah berpakatan, rasmi dan berterus teranglah.

“Jangan hanya berani berkahwin politik di negeri, tetapi masih mahu menyembunyikan hubungan di peringkat Persekutuan.

"Rasmi dan umumkan pakatan itu. Tetapi jangan mahu kedua-duanya sekali,” tempelak Mahfuz lagi.

Dia menambah rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar Umno terhadap Kerajaan Perpaduan sama ada mahu memperkukuhkannya atau sekadar menikmati kuasa sementara membina jajaran baru bersama PAS dan PN.