Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mempersoalkan penutupan premis perniagaan di Terengganu bagi memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Anwar berkata walaupun Khoo telah memohon maaf, siasatan perlu diteruskan bagi menentukan sama ada kenyataan itu melanggar sensitiviti agama.

“Itu jelas, walaupun kini dah minta maaf, itu saya serah kepada siasatan. Apakah satu kenyataan yang dibuat setelah mohon maaf, itu keputusan PDRM,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana menteri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang mempersoalkan dakwaan wujudnya layanan dua darjat dalam penguatkuasaan berkaitan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Khoo sebelum ini mencetuskan kritikan selepas mempersoalkan keputusan Terengganu menutup premis perniagaan antara 12.30 tengah hari hingga 2 petang bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.

Selain isu mengenai kenyataan Khoo, Rosol turut membangkitkan beberapa kontroversi membabitkan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, sambil mendakwa tindakan pihak berkuasa terhadap kes berkenaan tidak konsisten.

Mengulas dakwaan itu, Anwar menegaskan tiada sesiapa yang terkecuali daripada siasatan polis sekiranya terdapat laporan dibuat, namun siasatan tidak semestinya berakhir dengan pendakwaan kerana individu terbabit perlu diberi peluang menjelaskan maksud kenyataan mereka.

“Takkan pula ada orang secara tahap dewa yang tidak boleh disiasat? Ini dalam sistem kita, tidak sesiapa yang berkecuali untuk ditanya dan disiasat kalau ada laporan polis,” katanya.

Pua baru-baru ini mengundang kritikan terutama daripada Umno apabila memuat naik beberapa imej yang didakwa memaparkan petikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 Sept lalu di Facebook.

Sementara itu Hassan pula memberi keterangan pada lalu 16 Nov lalu di Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung sajaknya bertajuk 'Patik Tak Rela' yang didakwa mempersoalkan pengampunan kepada Najib.

Mengenai Hassan, Anwar berkata dia secara peribadi tidak cenderung melihat wakil rakyat PKR itu dikenakan tindakan, namun siasatan perlu diteruskan berikutan kenyataannya ditafsirkan sebagai menghina institusi diraja.

“Jadi, siasatan harus diteruskan,” katanya.

Anwar turut menolak dakwaan tindakan penguatkuasaan lebih cepat dikenakan terhadap pembangkang berbanding pemimpin kerajaan, sambil menjelaskan keputusan untuk mendakwa seseorang bergantung kepada hasil siasatan.

Dia juga menegaskan perbuatan menghina dan memfitnah, termasuk melalui penyebaran gambar, tidak boleh dibiarkan kerana boleh menjejaskan maruah individu serta institusi diraja.