Isu genosid Rohingya: Anwar pertahan undangan jeneral Myanmar
PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan Malaysia mengundang pemimpin junta Myanmar ke negara ini dengan alasan libat urus dengan kepimpinan negara itu perlu untuk menangani krisis pelarian di Malaysia.
Anwar mengakui ramai dalam kalangan hampir 200,000 pelarian Myanmar di Malaysia menjadi mangsa kezaliman rejim tentera negara itu.
Namun, katanya libat urus dengan kepimpinan Myanmar diperlukan untuk membolehkan mereka dihantar pulang dan menangani beban Malaysia yang semakin meningkat untuk menampung pelarian.
Anwar menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang bertanya jika Malaysia wajar berasa bersalah kerana mengundang pemimpin junta Myanmar susulan keputusan terkini Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
/file/attachments/orphans/PrimeMinistersOfficeofMalaysia2_231256.png)
Menurut Anwar, jemputan kepada Jeneral Min Aung Hlaing dibuat sebelum keputusan ICJ yang mendapati Myanmar bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai terhadap Rohingya.
"Adakah dengan mengundang Presiden Myanmar ke Malaysia itu membantu menyelesaikan masalah negara? Jawabnya, ya," katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri.
Anwar turut berkata Malaysia menggunakan hubungan diplomatiknya dengan China dan Amerika Syarikat untuk mendesak penyelesaian krisis itu.
Katanya, Malaysia sudah mendapat jaminan daripada Myanmar untuk membolehkan warganegara negara itu pulang dengan selamat dan bermaruah.
Mengenai penghantaran pulang warganegara Myanmar, Anwar berkata 10,476 orang dihantar pulang setakat ini dengan kos ditanggung kerajaan negara itu.
Daripada jumlah itu, 1,476 orang dibawa pulang dengan kapal tentera laut Myanmar pada 29 Sept.
Kebanyakan yang lain dihantar pulang melalui penerbangan.
Katanya, Kementerian Luar turut memberi kelulusan untuk tiga kapal tentera laut Myanmar membawa pulang 1,500 lagi individu pada 6 dan 7 Dis.
Seramai 5,303 lagi warganegara Myanmar dijadualkan pulang melalui penerbangan pada Disember, dengan kos turut ditanggung kerajaan Myanmar.
"Setakat ini, belum ada kes daripada 10,476(yang sudah pulang) itu yang menerima apa-apa bentuk tekanan sepertimana dipantau oleh perisikan Malaysia," tambah Anwar.
Proses penghantaran pulang itu menerima kritikan kumpulan hak asasi manusia yang membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan mereka dihantar pulang secara paksa atau berdepan penindasan di Myanmar.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 November memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, dalam kes yang difailkan Gambia pada 2019.
Ini kali pertama ICJ memutuskan sesebuah negara melakukan genosid. Pada 2007, ICJ mendapati Serbia gagal mencegah genosid di Srebrenica, tetapi tidak memutuskan negara itu melakukan genosid terhadap etnik Bosnia.
Mahkamah Dunia itu mendapati kira-kira 10,000 Rohingya dibunuh dalam operasi ketenteraan pada 2017, selain keganasan seksual berleluasa dan keganasan melampau terhadap kanak-kanak.
Pasukan keselamatan turut menyerang penduduk Rohingya yang cuba melarikan diri ke Bangladesh.
Mahkamah mengarahkan Myanmar membayar pampasan kepada Rohingya atas pelanggaran yang dilakukan, dengan butirannya akan ditentukan kemudian.
Myanmar juga diperintahkan membenarkan “kepulangan yang selamat dan bermaruah ke tempat kediaman mereka” serta penyatuan semula keluarga Rohingya yang terpisah akibat tindakan negara itu.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/pn13_690712.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.