Paus Francis dedah pernah lihat syaitan tiga kali dan pintu neraka
Mendiang Paus Francis melihat syaitan sebanyak tiga kali dan pernah menyaksikan "pintu neraka", menurut pendedahan dalam diari peribadinya menerusi petikan buku baru yang diterbitkan pada Selasa.
Buku bertajuk "The Private Diary of Pope Francis" tulisan Kardinal Argentina, Victor Manuel Fernandez itu memuatkan catatan jurnal bekas Jorge Bergoglio tersebut antara tahun 1992 hingga 2024. Dokumen berkenaan mendedahkan kebimbangan, kekesalan, dan kritikan terhadap dirinya sendiri — selain sisi kemanusiaan serta keimanannya yang mendalam.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/04/28c13060f2a3d99b641bda8dba2768b8.jpg)
Laporan AFP menyebut Fernandez, yang mengetuai Dikasteri bagi Doktrin Kepercayaan Vatican, berkata Francis memintanya membantu mendedahkan renungan di dalam jurnal plastik hitam itu kepada dunia.
Susulan kematian Francis tahun lalu, Fernandez menyuarakan kebimbangan kepada penggantinya, Leo XIV, bahawa buku itu akan "dibiarkan dilupakan di dalam stor".
Dia kemudian dibenarkan menerbitkan petikan tersebut dengan menegaskan bahawa "kebimbangan rohani yang wujud dalam hati Francis amat jelas dan mampu memberi kebaikan kepada kita".
Dalam salah satu pendedahan menarik, Francis menulis bahawa semasa menjadi Ketua Biskop Buenos Aires, dia melihat syaitan dalam tiga kejadian berasingan, termasuk "dari dalam kereta ketika pulang ke rumah, dan di ruang koir semasa upacara misa", serta sekali di Rom selepas lawatan ke Chile.
"Saya mendapati syaitan itu berkeliaran dengan berani, berlegar-legar dengan penuh licik," tulis Francis dalam jurnalnya pada 24 Jan 2021, menurut salinan awal buku versi bahasa Perancis terbitan Albin Michel yang dilihat oleh AFP.
Francis menulis bahawa dia mengingati tiga episod "di mana saya pasti dia benar-benar muncul secara fizikal".
"Kira-kira 15 tahun lalu. Saya melihatnya dari tingkap kereta. Saya tidak akan melupakan matanya yang mengancam dan pada masa sama memikat," tulisnya.
Semasa kejadian kedua di dalam sebuah gereja kecil di Carmelite, Francis menulis: "Dia memandang saya dengan mata yang berapi-api.
"Saya tidak akan melupakan pandangan itu, lebih tajam daripada sebelumnya. Ia bagaikan pancaran api."
Kejadian ketiga berlaku semasa satu mesyuarat di Rom, selepas lawatannya ke Chile.
"Saya melihatnya dan mendengar suaranya yang penuh kemenangan, menguasai segala-galanya... Saya tidak dapat melupakan suara garaunya yang kuat," tulisnya sambil menambah bahawa "Tuhan memberi saya peluang untuk membebaskan diri daripada pertemuan ini".
Francis juga mendedahkan pada 7 Jun 2018 bahawa malam sebelumnya, ketika bersiap untuk tidur, dia "melihat pintu neraka".
"Godaan pagan dengan segala kekuatannya. Saya memerhatikannya seketika, dan ia amat menakutkan saya," katanya sambil menambah dia "mengambil tasbih sebagai senjata".
"Amat berbahaya untuk mendekati pintu neraka, kerana api boleh menyambar dan membakar," tulisnya.
Kritikan diri
Sepanjang catatan diari itu, Francis tidak teragak-agak mengkritik dirinya sendiri atas "perasaan menghina, iri hati, dan angkuh" yang kadangkala timbul atau kerana mengabaikan seorang lelaki mabuk di jalanan yang menegurnya "kerana saya mahu berjalan dalam keadaan aman dan tenang".
"Jorge yang angkuh, berasa serba cukup, dan sinis yang membohongi dirinya sendiri," begitulah cara bekas paus itu menggambarkan dirinya pada 30 Dis 2022.
Pada 15 Jan 2017, dia mengaku bahawa "sejak tiga atau empat hari lalu, saya benar-benar marah dan kecewa".
AFP melaporkan walaupun berkarisma, Paus Francis juga mempunyai keperibadian yang tegas dan kadangkala dikritik dalam kalangan Curia, badan pentadbir Gereja Katolik, kerana bersikap autoritarian.
Belas kasihan menjadi tema yang berulang dalam jurnal tersebut.
"Apabila mengenang kembali, saya menyedari segala kemudaratan yang saya lakukan sepanjang hidup. Betapa saya amat memerlukan belas kasihan Tuhan!" tulisnya pada 5 Jan 1997.
Penghujung usia
Paus Francis kelihatan bimbang bahawa hayatnya di muka bumi tidak panjang, serta resah memikirkan faktor penuaan dan keperluan untuk "menanganinya".
Pada 1996, ketika berusia 60 tahun — hampir tiga dekad sebelum kematiannya — dia menulis: "Saya mahu berbuat baik dengan sisa masa yang ada, dengan harapan untuk bersikap baik.
"Betapa banyak masa yang terbuang, betapa banyak kemudaratan yang dilakukan!"
Pada 2001, dia menulis bahawa "usia 65 tahun membuatkan saya memikirkan pengakhiran. Saya sudah mula menghitung hari".
Kebimbangan itu berterusan walaupun selepas dilantik menjadi paus pada 2013, apabila Francis menulis pada 9 Apr 2016 bahawa "serangan syaitan, dalam pelbagai bentuk, semakin meningkat... Adakah ini petanda masa semakin suntuk dan dia tidak mahu kalah?"
Jurnal itu mengandungi 86 muka surat yang ditulis sebelum pemilihannya sebagai paus pada 2013, dan 55 muka surat lagi selepas itu.
Salah satu catatan paling ringkas — dan paling menyentuh hati — dalam diari Francis tercatat pada 21 Julai 2013: "Pada 13 Mac, mereka memilih saya sebagai paus."
Francis meninggal dunia pada 21 Apr 2025.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/34535345354_167059.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.