Pemuda PAS Selangor mempertahankan keputusan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS untuk berkecuali dalam undian Belanjawan Selangor 2027, sambil menyifatkan cadangan menyekat mereka daripada berbahas sebagai intimidasi politik.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, berkata tindakan itu bercanggah dengan prinsip demokrasi, khususnya hak wakil rakyat pembangkang untuk menyuarakan pandangan dan menjalankan fungsi semak dan imbang.

"Saya mempertahankan hak Adun PAS yang memilih untuk berkecuali dalam undian Belanjawan Selangor 2027. Saya juga mengecam cadangan Adun Kerajaan untuk menyekat Adun PAS yang berkecuali daripada berbahas kerana pendirian yang diambil dalam undian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Sukri berkata demikian susulan cadangan beberapa wakil kerajaan negeri supaya Adun PAS yang berkecuali dalam undian belanjawan disekat daripada menyertai perbahasan Dewan Negeri.

Menurutnya, setiap wakil rakyat berhak menentukan pendirian masing-masing dalam pengundian, seperti ditegaskan Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San, selepas Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 diluluskan pada 20 Nov lalu.

Sukri turut menyifatkan PH sebagai hipokrit kerana sebelum ini lantang mempertahankan kebebasan bersuara dan hak pembangkang untuk menyemak tindakan kerajaan, tetapi kini wakil kerajaan sendiri mencadangkan sekatan terhadap pembangkang.

"Dahulu, PH lantang mempertahankan kebebasan bersuara dan hak pembangkang untuk menyemak kuasa kerajaan. Kini, wakil kerajaan sendiri mencadangkan sekatan terhadap suara pembangkang.

"Wakil rakyat pembangkang seolah-olah dipaksa mengundi mengikut kehendak kerajaan ialah intimidasi politik. Ia merupakan satu bentuk pembunuhan demokrasi di Dewan Negeri," katanya.

Dia menegaskan Adun PAS perlu terus menjalankan fungsi semak dan imbang, termasuk membangkitkan persoalan mengenai projek tebatan banjir seperti kawasan yang diberi keutamaan, jumlah peruntukan, tarikh kerja bermula dan jangkaan projek siap.

"Setiap persoalan itu mesti terus dibawa ke Dewan sehingga kerajaan memberikan jawapan yang boleh disemak.

"Dewan telah meluluskan belanjawan. Kerajaan negeri kini bertanggungjawab menunjukkan hasilnya, bukan masih sibuk bermain politik dalam keadaan rakyat terus sengsara ditenggelami banjir," katanya.

DUN Selangor meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 berjumlah RM3.3 bilion pada 20 Nov lalu dengan 42 undi menyokong, tujuh berkecuali dan tujuh lagi tidak hadir.

Belanjawan itu merangkumi RM1.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.4 bilion untuk pembangunan, berbanding anggaran hasil negeri sebanyak RM2.85 bilion.