Mahkamah Majistret di Sepang hari ini menetapkan 23 Dis depan bagi sebutan semula kes Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Mohd Shuhaily Mohd Zain yang berdepan dua pertuduhan mencederakan anggota polis.

Majistret Khairatul Animah Jelani menetapkan tarikh itu bagi pengurusan kes selepas pihak pembelaan memaklumkan menerima dokumen berkaitan kes daripada pihak pendakwaan pagi ini.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon supaya pengurusan kes ditetapkan pada 20 Jan tahun depan bagi membolehkan mereka meneliti dokumen berkenaan.

Bagaimanapun, Khairatul Animah berkata pengurusan kes perlu ditetapkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh sebutan pertama.

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan perintah halangan terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.

Sementara itu, peguam Rosal Azimin Ahmad mewakili Mohd Shuhaily berkata mahkamah membenarkan permohonan perintah larangan bersuara (gag order) terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini.

"Pada pagi ini, pihak pembelaan OKS (orang kena saman) membuat satu permohonan untuk gag order (bagi) menghalang mana-mana pihak untuk memberikan kenyataan sub judice dan prejudis kepada mana-mana pihak kecuali media yang masih dibenarkan membuat laporan mengenai prosiding kes berkenaan.

"Perintah larangan ini mengikat pihak pembelaan, pendakwaan serta peguam pemerhati daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan perbicaraan sehingga kes diputuskan. Permohonan ini dibuat agar anak guam mendapat perbicaraan adil dan kita harap semua pihak menghormati keputusan mahkamah," katanya ketika ditemui media selepas prosiding sebutan kes tersebut hari ini.

Terdahulu, Mohd Shuhaily tiba di mahkamah pada 8.20 pagi tadi bagi sebutan semula kes membabitkan pertuduhan mencederakan dua anggota polis.

Berpakaian lengkap sut berwarna biru gelap, Mohd Shuhaily ditemani Komander AKPS Pelabuhan Klang Nik Ezanee Mohd Faisal.

Pada 21 Okt lepas, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa mencederakan Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 Sept lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah sebelum ini membenarkan Mohd Shuhaily diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain mengarahkannya hadir pada setiap prosiding perbicaraan kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.

Mohd Shuhaily diwakili barisan peguam antaranya Rosal Azimin Ahmad, Yaacob Md Sam, Baljit Singh Sidhu, Akberdin Abdul Kader, Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.

- Bernama