Bersih mengingatkan usaha pembaharuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim setakat ini mungkin tidak mencukupi untuk menghentikan "barah kleptokrasi".

Amaran itu hadir ketika Anwar semalam memasuki fasa akhir penggal lima tahun pertamanya, dengan perdana menteri mengetengahkan kejayaan mengukuhkan ekonomi sambil menyatakan banyak lagi perkara sedang diusahakan.

“Adakah kita benar-benar telah menutup ruang yang memungkinkan skandal seumpama ini berlaku kembali?

“Kita tidak boleh menolak kemungkinan lahirnya kleptokrat 2.0 atau 3.0 sekiranya ekosistem politik dan institusi negara terus lemah dengan membiarkan ruang penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pengumpulan kekayaan secara tidak sah,” kata Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz dalam siri hantaran di X petang semalam yang merujuk kepada tahanan rumah yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Muhammad Faisal Abdul Aziz, Pengerusi Bersih

Bersih mendakwa di bawah kepimpinan Anwar, negara masih belum menyaksikan pelaksanaan pembaharuan institusi yang menyeluruh, khususnya dalam memperkukuh mekanisme dan penguatkuasaan undang-undang terhadap rasuah.

"Menjatuhkan seorang kleptokrat tidak bermakna kita menghapuskan kleptokrasi.

“Kini, memasuki tahun keempat pentadbiran Kerajaan Madani, kita masih belum melihat pelaksanaan reformasi institusi yang menyeluruh dan utuh, khususnya dalam memperkukuh mekanisme pencegahan serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan rasuah," katanya lagi.

Meskipun mengakui terdapat beberapa pembaharuan penting seperti penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta pindaan Akta Audit 1957 (2024), Faizal berkataperkara itu "tidak mencukupi".

Selain mengetengahkan bagaimana rang undang-undang Putrajaya berhubung pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya masih belum direalisasikan, Faisal berhujah struktur dan mekanisme kebertanggungjawaban SPRM memerlukan pembaharuan yang lebih menyeluruh.

Ini, katanya, termasuk Akta Pendanaan Politik bagi membanteras amalan rasuah dalam parti politik.

Najib Razak

"Bayangkan, 20 tahun dari sekarang, negara sekali lagi berdepan kleptokrat baru - jika itu berlaku akibat kegagalan kita hari ini menutup semua ruang yang membolehkan kleptokrasi, apakah penjelasan yang boleh kita berikan kepada anak-anak dan generasi akan datang?

"Memasuki tahun terakhir kerajaan Madani, ini mesti menjadi peringatan untuk melaksanakan pembaharuan sebaik mungkin bagi menutup kelemahan sedia ada.

“Perjuangan kita bukan sekadar untuk menentang seorang kleptokrat, tetapi untuk memastikan tiada lagi ekosistem yang memungkinkan kleptokrat seterusnya dilahirkan," tambahnya.