Sekutu di persekutuan tak patut berlawan sesama sendiri di negeri - Loke
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata adalah tidak mampan bagi rakan-rakan dalam kerajaan gabungan persekutuan untuk bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya negeri.
Kenyataannya itu hadir menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, dengan partinya bakal berdepan sekutu utama mereka di peringkat persekutuan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) di 12 kerusi.
DAP merupakan satu-satunya parti Pakatan Harapan (PH) yang bertanding dalam PRN itu.
Sokongan GPS diperlukan untuk mengekalkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkuasa sehingga tamat penggal, memandangkan mereka menyediakan jumlah sokongan yang diperlukan untuk bertahan daripada kemungkinan BN menarik sokongan.
Bercakap dalam audio siar yang dihoskan penasihat politik perdana menteri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Loke memetik kejatuhan pentadbiran Muhyiddin Yassin bagi menegaskan mengapa pertembungan sedemikian tidak mampan.
"Sabah yang pertama, kemudian diikuti Melaka, diikuti Johor, mereka semua berlawan sesama sendiri. Itu mengakibatkan keruntuhan model kerjasama tersebut.
"Saya rasa untuk sebuah gabungan sebenar menjadi mampan di peringkat persekutuan, ia mesti mampu merentasi negeri-negeri juga, kerana pada akhirnya negeri-negeri yang membentuk persekutuan," kata Loke.
Dia menambah bahawa dia menasihati pemimpin PKR Saifuddin Nasution Ismail bahawa PH perlu belajar daripada perkara ini dan mengelakkan pertembungan sedemikian, yang membawa kepada kerjasama dengan BN dalam PRN pada 2023, serta pilihan raya kecil berikutnya.
Dia berkata perkara ini berubah selepas pilihan raya Sabah 2025, ketika BN mula mencari sekutu baru, yang menyebabkan BN dan PH bertembung di Johor, Negeri Sembilan, dan Melaka. BN memenangi kesemua pilihan raya itu dengan sokongan daripada Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, Loke tidak mengulas mengenai pertembungan yang bakal berlaku di Sarawak, dan Zafrul juga tidak bertanyakan kepadanya mengenai perkara itu.
Namun, Loke sempat mengulas tentang hubungan DAP dengan GPS, dengan menyorot bagaimana dia memohon maaf kepada Pengerusi GPS Abang Johari Openg demi menjamin pembentukan kerajaan gabungan persekutuan, usahanya untuk menyerahkan kawalan Pelabuhan Bintulu kepada negeri itu, serta rekod prestasi kerjasama mereka yang terbukti sejak beberapa tahun lalu.
Dia berkata kerjasama sedemikian antara parti-parti politik yang berselisih faham antara satu sama lain, amat diperlukan demi memajukan negara ke hadapan.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/3a401005b1c351cd39bbde8e33d6ad96.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.