Jenazah Sasterawan Negara A Samad Said selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di Kuala Lumpur pada 10.55 pagi ini.

Terdahulu, lebih 300 jemaah terdiri daripada ahli keluarga Allahyarham, rakan penggiat seni dan orang ramai menunaikan solat jenazah di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar yang dipimpin Imam 1 masjid berkenaan Muhammad Abid Ayub.

Bacaan talkin kemudiannya disempurnakan ketua imam masjid itu, Muhammad Ansari Paslan.

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan tokoh wartawan A Kadir Jasin.

Ditemui wartawan, Fahmi berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk menamakan satu daripada jalan di ibu negara dengan nama sasterawan negara itu.

Katanya, cadangan itu dikemukakan oleh Kadir sebagai penghormatan terhadap sumbangan Allahyarham dalam bidang kesusasteraan dan kewartawanan.

"Jadi, nanti insya-Allah kita akan teliti beberapa cadangan ini … tetapi, bagi saya yang paling penting ialah kita menghayati karya-karya dan Allahyarham juga seorang pejuang hak rakyat dan hal ini tidak harus kita lupakan," katanya.

Selain itu, Fahmi berkata terdapat kewajaran untuk mempertimbangkan penubuhan sebuah galeri bagi mengenang jasa dan mempamerkan karya-karya tokoh sastera berkenaan.

“Karya-karya agung Allahyarham wajar kita lihat kaedah untuk dipopularkan semula. Karya beliau masih popular, namun perlu diperkenalkan kepada generasi muda, khususnya Gen Z dan Gen Alpha,” katanya.

Anak sulung A Samad Said, Helmy (tengah) diapt cucu allahyarham sasterawan negara itu.

Fahmi berkata dia turut berbincang dengan anak Allahyarham tentang keperluan untuk keluarga meneliti aspek hak cipta serta usaha mengekalkan karya penulisan Allahyarham.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke tanah perkuburan untuk urusan pengebumian.

Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir di tanah perkuburan berkenaan ialah veteran DAP Lim Kit Siang, serta tiga Sasterawan Negara iaitu Anwar Ridhwan, Prof Siti Zainon Ismail dan Zurinah Hassan.

Hadir sama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Hazami Jahari serta penyanyi dan komposer terkenal M Nasir.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.

A Samad Said yang dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka merupakan penerima Anugerah Sastera Negara keempat pada 1985 dan terkenal dengan karya agung seperti novel Salina, Sungai Mengalir Lesu serta Hujan Pagi.


AZ Samad, anak bongsu Sasterawan Negara.