Dua peguam yang mewakili keluarga tiga lelaki yang maut ditembak polis di Durian Tunggal, Melaka akan memfailkan saman sivil terhadap kerajaan dan polis jika tiada tindakan diambil terhadap anggota yang terlibat.

Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh berkata lebih setahun selepas kejadian itu, keluarga mangsa masih menuntut keadilan.

Kes berkenaan juga kata mereka akan menjadi ujian penting apakah anggota polis boleh membunuh seseorang tanpa dikenakan tindakan.

“Rakyat Malaysia sudah tidak boleh menerima kekejaman polis, penyalahgunaan kuasa dan budaya melindungi pihak yang bertanggungjawab,” kata mereka dalam kenyataan media.

Dalam kejadian pada 25 Nov lalu, G Logeswaran, 29, M Puspanathan, 21, dan M Puvaneswaran, 24 ditembak mati di sebuah ladang kelapa sawit.

Polis mendakwa ketiga-tiga lelaki itu menyerang anggota polis menggunakan parang. Bagaimanapun, rakaman audio perbualan telefon yang tersebar kemudian menimbulkan keraguan terhadap dakwaan itu kerana menunjukkan kemungkinan mangsa ditembak tanpa membela diri.

Pada 5 Dis, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan polis menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh serta turut menegaskan tiada pihak akan dilindungi.

Dalam kenyataan hari ini, peguam keluarga mangsa mengkritik Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana memilih untuk mengadakan inkues. Ini walaupun AGC sebelum itu mengarahkan kes berkenaan disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 16 Dis.

Peguam Rajesh Nagarajan

“Mengapa hasil siasatan kes bunuh itu masih belum diketahui? Apa yang telah ditemui?

“Sebaliknya, AGC kini mahu mengadakan inkues. Inkues hanya menentukan bagaimana, bila dan dalam keadaan apa seseorang meninggal dunia. Ia tidak menentukan kesalahan atau membolehkan seseorang didakwa.

“AGC sudah mempunyai bukti mencukupi untuk membuat keputusan pendakwaan. Inkues hanya akan melengahkan proses.

“AGC mempunyai rakaman audio dan laporan bedah siasat. Namun, pihak yang bertanggungjawab masih belum didakwa,” kata mereka.

'Kami tidak akan berdiam diri'

Merujuk rakaman audio yang memaparkan Logeswaran merayu, “Jangan, saya ada anak!”, peguam berkata kata-kata itu tidak menunjukkan dia sedang mengancam anggota polis.

Mereka berkata rayuan itu bercanggah dengan dakwaan polis bahawa tembakan dilepaskan untuk mempertahankan diri. Laporan bedah siasat juga menyokong dakwaan keluarga bahawa ketiga-tiga mangsa ditembak dengan kejam.

“Jika bukti ini masih tidak membawa kepada pertuduhan membunuh, maka tiada bukti lain yang akan mencukupi.

Dua isteri kepada tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka pada 24 Nov lalu

“Tugas polis adalah menangkap suspek dan membawa mereka ke mahkamah. Hanya mahkamah boleh menentukan kesalahan dan menjatuhkan hukuman. Polis tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sendiri siapa yang hidup atau mati,” kata mereka.

Peguam itu menuntut AGC menjelaskan hasil siasatan kes bunuh berkenaan dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab tanpa berlengah lagi.

“Tiga nyawa telah terkorban. Setahun telah berlalu tanpa penyelesaian. Kami tidak akan berdiam diri atau berundur. Kami menuntut keadilan,” kata mereka.