Anthony Loke menegaskan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilihat masih keberatan untuk membenarkan Setiausaha Agung DAP itu berundur daripada jawatannya.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya hari ini, Anwar berkata dia belum membuat keputusan mengenai peletakan jawatan Loke.

"(Saya ada) jumpa (Loke), dia bagi alasan yang kita tahu dan saya beritahu... cuti dahulu," katanya seperti dilaporkan BH.

Anwar turut memaklumkan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Loke sebelum membuat keputusan muktamad berhubung kedudukan Menteri Pengangkutan itu dalam Kabinet.

Dalam pada itu, Anwar berkata, dia buat masa ini memantau sendiri tugas yang ditinggalkan Loke bagi memastikan urusan kementerian berkenaan terus berjalan lancar.

Bulan lalu, ketika berucap di Kementerian Pengangkutan, Anwar turut meminta Loke mempertimbangkan semula keputusannya untuk meletakkan jawatan.

Menurut Anwar, pemimpin yang baik tidak sepatutnya meletakkan jawatan. Sebaliknya, mereka yang terlibat dengan rasuah patut berundur.

Katanya, negara memerlukan pemimpin yang berprinsip dan prihatin terhadap nasib rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

"Ini bukanlah saya nak puji sebab beliau ada di sini. Pasal apa orang baik macam ini dia nak berhenti?

“Yang nak berhenti orang yang rasuahlah. Orang baik ini kita nak pertahan. Orang ini yang penting dalam negara kita," katanya.

Anwar turut menjelaskan bahawa keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah bukan kuasa perdana menteri.

Sebaliknya, perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Pada 11 Nov, Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat DAP selama empat jam pada 19 Sept. Selepas mesyuarat itu, Loke menawarkan diri untuk meletakkan jawatan kepada Anwar secepat mungkin sebagai tanda bantahan parti itu terhadap pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib.

Bagaimanapun, Loke menegaskan menteri DAP yang lain akan kekal dalam Kabinet bagi memastikan kestabilan politik negara.