MCMC saman Google RM600 juta, dakwa lambat sekat kandungan memudaratkan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan dua saman berjumlah RM600 juta terhadap Google LLC atas dakwaan gagal menangani kandungan memudarakan di YouTube, termasuk perjudian dalam talian, penipuan, dan kenyataan terhadap pemimpin kerajaan.
Saman pertama membabitkan kandungan berkaitan perjudian dalam talian, scam dan penipuan, manakala saman kedua melibatkan dakwaan kegagalan platform itu memadam video yang diterbitkan semula menampilkan penulis blog Wan Azri Wan Deris, atau yang lebih dikenali sebagai Papagomo.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan pihaknya menuntut ganti rugi berjumlah RM300 juta bagi setiap saman, merangkumi RM100 juta masing-masing untuk ganti rugi am, teruk, dan teladan.
/file/1226/d721c3c526b637859e88bcee7053ab9c.jpeg)
Tuntutan itu ertujuan mendapatkan pampasan atas penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar dalam menangani lebih daripada 50,000 kandungan yang memudaratkan susulan kegagalan sistemik Google, di samping menyokong usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
74,703 laporan kepada YouTube
Mengenai saman pertama, MCMC berkata pihaknya mengemukakan 74,703 laporan kepada YouTube antara 1 Jan hingga 8 Okt tahun ini, dengan 74,569 daripadanya, atau 99.8 peratus, berkaitan perjudian dalam talian.
Bagaimanapun, menurutnya, hanya 2,781 daripada laporan berkaitan perjudian itu menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan daripada platform dalam tempoh satu hari, manakala 4,950 lagi tidak mendapat sebarang maklum balas.
Menuduh Google melengahkan tindakan terhadap kandungan sedemikian, MCMC menambah bahawa 35 kes mengambil masa lebih 90 hari untuk menerima maklum balas, manakala 1,468 kes lagi mengambil masa lebih 30 hari sebelum tindakan diambil.
Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa Google, sebagai pemegang lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi, terikat dengan peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, serta syarat-syarat pelesenan.
Malaysiakini meminta butiran lanjut daripada MCMC berhubung saman pertama itu.
Saman kedua berkait Wan Azri
Dokumen mahkamah menunjukkan saman kedua, yang membabitkan dakwaan penerbitan semula kandungan menampilkan Wan Azri, difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Okt.
Semakan pada sistem e-pemfailan mahkamah mendapati pengurusan kes ditetapkan pada 8 Dis melalui e-semakan di hadapan timbalan pendaftar Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Saman itu berkait dengan tindakan undang-undang berasingan yang dimulakan MCMC terhadap Wan Azri pada 27 Mei, bagi mempertikaikan siaran media sosialnya yang mendakwa suruhanjaya berkenaan menapis laporan mahkamah membabitkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
/file/1274/9cdc9db77f99fb02ede998a81990fffc.jpeg)
Pada 19 Jun, mahkamah melarang Wan Azri daripada menerbitkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap MCMC dan memerintahkannya berhenti menerbit serta menyebarkan kandungan berbahaya dalam talian melalui media sosial.
Saman MCMC terhadap Google menyusuli dakwaan kegagalan syarikat berpangkalan di AS itu mematuhi notis bertulis yang dikeluarkan pada 19 Okt, bagi menuntut pemadaman penerbitan semula video Wan Azri dalam tempoh 12 jam.
MCMC menegaskan bahawa notis itu mengenal pasti dan memperincikan secara khusus pihak ketiga yang bertanggungjawab menerbitkan semula video berkenaan.
Pihaknya mendakwa kegagalan Google mematuhi notis itu menyumbang kepada "ketegangan sosial dan permusuhan awam", menjejaskan persepsi awam terhadap kredibiliti pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, serta menghakis keyakinan terhadap kerajaan dan suruhanjaya tersebut.
MCMC juga berkata pihaknya membuat "banyak" permohonan supaya Google memadam kandungan berbahaya yang diterbit atau disebarkan oleh Wan Azri dan pihak ketiga, sama ada sebelum notis 19 Okt mahupun selepas perintah mahkamah terhadap penulis blog itu.
Google, melalui YouTube, sebelum ini bertindak atas permohonan tersebut, walaupun lewat, dengan memadam, menyekat akses mengikut lokasi geografi, atau mengehadkan kandungan berkenaan, tambahnya.
Perkara ini, hujah MCMC, membuktikan Google sedar akan "kelakuan berterusan atau berulang" Wan Azri menyebarkan bahan tersebut melalui saluran YouTube miliknya sendiri dan akaun yang dikendalikan pihak ketiga.
Dalam pernyataan tuntutannya, MCMC menyenaraikan 30 video menampilkan sesi siaran langsung Wan Azri yang pernah dikenakan tindakan oleh YouTube sebelum ini, serta 107 video yang menerbitkan semula kenyataannya menerusi 28 akaun YouTube.
Saman itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Sitham & Associates dan diserahkan kepada wakil undang-undang tempatan Google, Tetuan Rahmat Lim & Partners.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/01/b0cbfdb63d2b8f3644022bd5cb4b4ecd.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.