Abang Johari pertahan Gedong, GPS letak 11 muka baru
Pengekalan empat tonggak pentadbiran negeri memperlihatkan kesinambungan kepimpinan dalam barisan calon GPS, yang turut menampilkan 11 muka baru daripada keseluruhan 82 calon.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan keseluruhan barisan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, dengan Premier Abang Johari Openg dan ketiga-tiga Timbalan Premier mempertahankan kerusi masing-masing.
Abang Johari, 76, yang juga Pengerusi GPS dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, manakala Awang Tengah Ali Hasan kekal di Bukit Sari dan Douglas Uggah Embas di Bukit Saban.
Dr Sim Kui Hian merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga akan mempertahankan kerusi Batu Kawah yang dimenanginya sejak PRN 2016.
Pengekalan empat tonggak pentadbiran negeri itu memperlihatkan kesinambungan kepimpinan dalam barisan calon GPS, yang turut menampilkan 11 muka baharu atau 13.4 peratus daripada keseluruhan 82 calon gabungan berkenaan.
Abang Johari yang mula menceburi politik pada 1977 mempunyai pengalaman lebih empat dekad sebagai wakil rakyat selepas kali pertama memenangi kerusi DUN Satok pada 1981 sebelum beralih ke Gedong pada PRN 2021.
Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam pada 13 Jan 2017 susulan kematian Allahyarham Adenan Satem dan terus menerajui negeri selepas gelaran jawatan itu ditukar kepada Premier pada 2022.
Awang Tengah, 63, pula merupakan antara wakil rakyat paling lama berkhidmat di Sarawak sejak memenangi kerusi DUN Lawas buat kali pertama pada 1987, yang kemudiannya dinamakan semula sebagai Bukit Sari susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2006.
Sementara itu, Uggah, 70, yang juga Timbalan Presiden PBB mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran pada peringkat negeri dan Persekutuan, selain pernah berkhidmat sebagai anggota parlimen Betong selama tujuh penggal berturut-turut dari 1986 hingga 2018.
Beliau pernah menganggotai Kabinet Persekutuan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebelum beralih ke arena politik negeri dengan memenangi kerusi Bukit Saban pada PRN 2016.
Dr Sim, 61, seorang pakar kardiologi pula akan mempertahankan Batu Kawah untuk penggal ketiga selepas memenangi kerusi berkenaan pada PRN 2016 dan 2021.
Ketiga-tiga Timbalan Premier itu mewakili latar belakang komuniti berbeza dalam struktur kepimpinan kerajaan negeri, dengan Awang Tengah dan Uggah daripada PBB, manakala Dr Sim daripada SUPP.
Abang Johari hari ini mengumumkan senarai penuh 82 calon GPS yang akan bertanding pada PRN Sarawak ke-13.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 28 Nov, manakala pengundian pada 12 Dis ini.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/rtm2342asd3sad_584064.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.