Bekas menteri saran beberapa inisiatif kenang jasa, sumbangan A Samad Said
Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mencadangkan beberapa inisiatif yang boleh diambil dalam mengenang sumbangan dan jasa sasterawan negara keempat, Allahyarham A Samad Said yang meninggal dunia semalam.
Menurut Maszlee yang juga Adun Puteri Wangsa, pemergian A Samad merupakan satu kehilangan besar buat seluruh rakyat Malaysia dan sumbangan Allahyarham terutamanya dalam ranah kesusasteraan serta isu kemasyarakatan, wajar diberi pengiktirafan.
/file/attachments/orphans/MaszleeMalik1_681382.jpg)
"Sudah sampai masanya kini rakyat Malaysia menginsafi untuk kita mengangkat sastera negara dan mengangkat sasterawan negara," ujarnya menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial hari ini.
Antaranya, Maszlee mengemukakan empat cadangan kepada pihak kerajaan.
Pertama, katanya, kerajaan boleh menamakan Fakulti Pendidikan atau Fakulti Sastera dan Sains Sosial di Universiti Malaya (UM), tempat sasterawan negara itu menerima Ijazah Doktor Kehormat sebagai Fakulti A Samad Said.
Kedua, pemimpin PKR itu menggesa Kementerian Pendidikan menamakan sebuah sekolah cemerlang sama ada di Melaka, yang merupakan negeri kelahiran A Samad ataupun di Lembah Kelang sempena namanya.
Menurutnya, cadangan itu juga boleh dilaksanakan dengan mana-mana Sasterawan Negara yang telah meninggal dunia di negeri kelahiran mereka.
Sebagai contoh, Mazlee turut meminta kerajaan Johor menubuhkan Galeri Sasterawan Negara Usman Awang di Perpustakaan Awam Negeri Johor, Muzium Tokoh Negeri Johor dan di tempat kelahirannya di Tanjung Sedili.
/file/attachments/orphans/45635354_324016.jpg)
"Ia pernah dibincangkan di Dewan Negeri sebelum ini tetapi masih belum ada tindakan yang konkrit," katanya.
Maszlee juga mencadangkan agar hasil karya sasterawan negara diajarkan di semua sekolah di bawah kementerian pendidikan seawal darjah 1 hingga tingkatan 6.
"Di samping semua perpustakaan sekolah menengah mempunyai galeri sasterawan negara dengan memaparkan gambar, latar belakang dan karya agung," katanya.
Mengenang pengalaman peribadi sewaktu berkhidmat di KPM, Maszlee juga berkongsi bahawa dia pernah bertemu terus dengan A Samad Said selepas acara di Parlimen dan banyak cuba melaksanakan nasihat sasterawan tersohor itu di peringkat kementerian.
A Samad yang sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) meninggal dunia petang semalam.
Allahyarham, 91, dimasukkan ke HKL pada petang Selasa lalu akibat sakit tua dan turut menghidap diabetes.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di Kuala Lumpur pada 10.55 pagi tadi.
/file/attachments/orphans/samad1adses2_289444.jpg)
Sebelum itu, selepas solat jenazah di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang turut hadir memaklumkan kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk menamakan satu daripada jalan di ibu negara dengan nama Allahyarham.
Katanya, cadangan itu dikemukakan oleh tokoh wartawan A Kadir Jasin yang juga hadir sama sebagai penghormatan terhadap sumbangan Allahyarham dalam bidang kesusasteraan dan kewartawanan.
"Jadi, nanti insya-Allah kita akan teliti beberapa cadangan ini … tetapi, bagi saya yang paling penting ialah kita menghayati karya-karya dan Allahyarham juga seorang pejuang hak rakyat dan hal ini tidak harus kita lupakan," katanya.
Selain itu, Fahmi berkata terdapat kewajaran untuk mempertimbangkan penubuhan sebuah galeri bagi mengenang jasa dan mempamerkan karya-karya tokoh sastera berkenaan.
“Karya-karya agung Allahyarham wajar kita lihat kaedah untuk dipopularkan semula. Karya beliau masih popular, namun perlu diperkenalkan kepada generasi muda, khususnya Gen Z dan Gen Alpha,” katanya.
/file/attachments/orphans/ASamadSaid1_683697.jpg)
Allahyarham yang menerima anugerah sasterawan negara pada 1985 menghasilkan pelbagai karya merangkumi novel, cerpen, puisi, drama dan esei yang mengangkat pelbagai persoalan kehidupan serta realiti masyarakat.
Antara karya agungnya termasuk Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu (1967), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1987), dan kumpulan puisi Liar di Api.
Sebelum menumpukan sepenuh masa dalam bidang penulisan kreatif, dia pernah berkhidmat sebagai wartawan dan pengarang di beberapa syarikat akhbar utama seperti Utusan Melayu, Berita Harian, dan The New Straits Times.
Dalam dekad-dekad kebelakangan ini, Allahyarham juga dikenali kerana penglibatan aktifnya dalam gerakan masyarakat sivil. Dia pernah menjadi pengerusi bersama gabungan Bersih 2.0.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.