Siasatan surat Hasanah kepada pengarah CIA diklasifikasi tiada tindakan lanjut
Siasatan polis terhadap surat yang ditulis bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid, kepada pengarah CIA ketika itu, Gina Haspel, telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Pang Hok Liong (Harapan-Labis), yang bertanyakan sama ada surat yang dihantar pada 2018 bagi memohon sokongan AS itu dibuat atas arahan kerajaan BN ketika itu.
Saifuddin berkata, polis menerima laporan di Putrajaya dan membuka siasatan mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Peruntukan tersebut masing-masing meliputi kesalahan komunikasi atau pemilikan rahsia rasmi secara salah, pendedahan tanpa kebenaran maklumat yang diperoleh ketika menjalankan tugas di bawah mana-mana undang-undang, serta penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Polis menjalankan siasatan menyeluruh namun tidak menemui sebarang bukti bahawa perkara itu mendapat arahan atau kelulusan daripada kerajaan, katanya.
/file/attachments/orphans/456456456_102879.jpg)
"Kertas siasatan selanjutnya telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Disember 2023 untuk penelitian dan arahan selanjutnya.
"Setelah meneliti hasil siasatan yang dikemukakan, Jabatan Peguam Negara pada 25 November 2025 telah memutuskan Tiada Tindakan Lanjut (TTL) atau No Further Action (NFA) ke atas siasatan ini," kata Saifuddin.
Hasanah menulis surat kepada agensi perisikan AS itu lima hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, bagi memohon sokongan Washington sekiranya BN memenangi pilihan raya tersebut dengan majoriti tipis.
Mengakui PRU14 mungkin menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah Malaysia, surat tiga halaman itu, yang dilihat Malaysiakini, bagaimanapun menyatakan keyakinan bahawa Perdana Menteri ketika itu Najib Razak akan dapat memenangi pilihan raya dengan kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Walaupun yakin dengan kemenangan BN, surat itu turut memohon sokongan AS terhadap pentadbiran Najib walaupun jika BN hanya memenangi pilihanraya dengan majoriti mudah atau sekadar lebih satu kerusi.
Surat itu dibocorkan kepada umum selepas BN tewas dalam pilihan raya tersebut, mendorong Hasanah membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menyiasat siapa yang bertanggungjawab mendedahkan dokumen rahsia berkenaan.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.