Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak dakwaan DAP Sarawak yang menuduhnya tunduk kepada ugutan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung keputusan PKR untuk tidak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

"Saya bekerjasama, bukan tunduk," kata Anwar ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur petang ini.

Presiden PKR itu diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, yang menyifatkan keputusan PKR untuk tidak menyertai PRN sebagai satu kompromi bagi memastikan GPS terus menyokong kerajaan persekutuan.

Sokongan GPS penting bagi memastikan Anwar kekal sebagai perdana menteri, khususnya kerana gabungan itu menyediakan jumlah sokongan yang diperlukan kerajaan Madani untuk terus bertahan sekiranya BN menarik diri daripada kerajaan.

DAP merupakan satu-satunya parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang bertanding dalam PRN Sarawak pada 12 Dis ini, selepas PKR dan Amanah memilih untuk tidak bertanding. Perikatan Nasional (PN) dan BN juga memutuskan untuk tidak menyertai PRN tersebut.

Semalam, Chong mengkritik keputusan PKR itu dalam satu kenyataan video, dengan mendakwa parti berkenaan mengorbankan demokrasi di Sarawak demi mendapatkan sokongan politik di peringkat persekutuan.

"Jelas sekali, perdana menteri telah tunduk kepada ancaman daripada GPS dan menarik diri daripada pilihan raya negeri sebagai pertukaran untuk sokongan berterusan dalam kerajaan persekutuan.

"Bagi saya, ini bermakna mengorbankan demokrasi di Sarawak demi sokongan politik di peringkat persekutuan," kata Chong.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif tambahan sehingga 18 peratus terhadap barangan Malaysia, Anwar berkata dia akan mengulas perkara itu selepas membincangkannya dalam mesyuarat kabinet esok.

“Lebih baik kita uruskan perkara itu esok,” katanya kepada pemberita.

Dilaporkan bahawa AS mencadangkan tarif tambahan sehingga 18 peratus terhadap barangan Malaysia, dengan mendakwa dasar perindustrian dan amalan pembuatan negara mewujudkan kapasiti pengeluaran berlebihan yang menjejaskan perdagangan serta menyekat perdagangan AS.

Malaysia merupakan antara 14 ekonomi yang berdepan cadangan tarif di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, dengan kadar keseluruhan antara 15 hingga 35 peratus. Ekonomi lain yang turut terlibat termasuk China, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun dan Kesatuan Eropah.