SPRM menafikan dakwaan pilih kasih dalam cara ia mengendalikan skandal yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

SPRM berkata ia memulakan siasatan berhubung skandal projek jalan luar bandar kendalian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah diterajui Zahid pada 7 Okt dan menyoal siasat 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi.

"SPRM menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran. Namun demikian, sebarang dakwaan atau kenyataan yang dibuat hendaklah berlandaskan fakta yang sahih dan disampaikan secara bertanggungjawab, bukannya berdasarkan persepsi atau andaian semata-mata.

"SPRM ingin menegaskan bahawa setiap siasatan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang, tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang mana-mana individu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya itu menjawab tuduhan Penasihat DAP Lim Guan Eng yang menuduh badan antirasuah itu melengah-lengahkan siasatan terhadap Zahid, sedangkan ia bertindak pantas menyiasat kementerian Yeoh berhubung lanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Jawapan SPRM itu menunjukkan bahawa ia hanya memulakan siasatan ke atas projek jalan luar bandar selepas Anggota Parlimen Kampar Chong Zhemin membuat laporan pada 6 Okt.

Zahid pada akhir Ogos mengadu mengenai dakwaan kelewatan penyaluran dana bagi projek jalan luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang diterajuinya.

Sebagai maklum balas, Kementerian Kewangan mendedahkan bahawa Zahid secara kerap berbelanja melebihi belanjawan kementeriannya. Kementeriannya akhirnya diberikan bantuan kewangan RM500 juta daripada penjimatan oleh kementerian lain.

Pada 10 Okt SPRM berkata ia hanya akan melancarkan siasatan sebaik sahaja laporan dibuat, mendorong Chong untuk memfailkannya.

Sementara itu, Yeoh dikritik hebat oleh Umno sejak minggu lalu selepas kerajaan memperbaharui pajakan KLSCAH selama 99 tahun dengan caj premium tanah nominal sebanyak RM1,000.

SPRM memanggil salah seorang pembantunya untuk disoal siasat pada Rabu.

Yeoh menafikan sebarang salah laku, sambil menegaskan pembaharuan pajakan dan pengurangan caj premium tanah daripada RM4.67 juta adalah telus dan diputuskan secara bebas oleh jawatankuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Dia juga berkata bahawa KLSCAH bukanlah satu-satunya pihak yang diberikan kelonggaran sedemikian.