mk-logo
Berita
DAP pertikaikan puisi 'ratu anjing'
Diterbitkan:  Oct 16, 2008 8:23 AM
Dikemaskini: 3:26 PM

Minggu ini sastera menjadi bahan perbincangan politik yang panas. Selepas cerpen dipertikaikan di Dewan Rakyat, hari ini puisi menjadi topik perbahasan seorang lagi wakil rakyat DAP.

Tokoh utamanya Lim Kit Siang mengecam 'Politik baru YB J' karya Datuk Chamil Wariya kelmarin, sementara wakil Segambut, Lip Lim Eng mempertikaikan puisi 'Ratu Anjing; Yang Melengking Itu' seperti diterbitkan di Utusan Malaysia hari ini.

Lip menganggap sajak itu berkaitan dengan wakil rakyat Seputeh, Teresa Kok, yang dituduh membangkitkan isu azan dan sensitiviti orang Islam - walaupun ahli parlimen itu menafikannya.

Selepas bebas daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hujung minggu lalu, kenyataan Teresa yang menyamakan makanan dalam tahanan seumpama "makanan anjing" menjadi kontroversi lagi.

Puisi lima rangkap itu dianggap kontroversi di beberapa bahagian kerana dipercayai mengupas persoalan semasa.

Antaranya di ketiga dan terakhir:

utusan malaysia teresa kok puisi insult ratu anjing dr ibrahim ghaffar 161008 Suci suatu subuh itu terganggu,

salak anjing antara azan yang syahdu,

melihat kelibat siluman dan hantu,

tawakal muazin menuju nawaitu,

tertip titipan taqwa pada yang satu,

biarkan ratu anjing itu menyalak waktu,

bukit bukau tetap jitu,

gunung-ganang tetap padu,

manusia perlu berakal dan berilmu,

(ketiga)

Kok anjing biar menyalak,

kok bukit biar berpuncak,

kok terasa menyelar bijak,

bumi juga tempat berpijak,

padah kita bila kata terlajak.

(terakhir)

Menurut akhbar berkenaan, ia disiapkan pada 22 September lalu, dua hari sebelum Teresa, yang juga exco kanan kerajaan dibebaskan daripada tahanan ISA.

Sajak karya Dr Ibrahim Ghaffar itu asalnya dibacakan di majlis baca puisi Persatuan Penulis Nasional (Pena)-Dewan Sastera baru-baru ini.

Dalam penjelasannya kepada Malaysiakini hari ini, beliau berkata, karyanya itu hanyalah sekadar peringatan umum agar seseorang yang ingin berbuat sesuatu hendaklah bertindak dengan bijaksana dan penuh kematangan.

Dr Ibrahim menambah, seseorang yang bercakap perlu berwaspada dan jangan sampai terlajak kata kerana ia boleh membawa mudarat.

"Ia seperti kata pepatah Melayu 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa'.

"Ia hanyalah sebuah puisi umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa," katanya.

DAP dijangka melaporkan puisi ini kepada polis esok.

Hari ini parti itu membawa cerpen tersebut, yang mengisahkan seorang wakil rakyat wanita Cina mati ditembak, kepada polis.

Berita penuh di sini

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS