Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen berkata, tempoh berkempen yang panjang bagi pemilihan Umno boleh menyebabkan lebih banyak politik wang berlaku.

Pada masa itupun, katanya, politik wang dalam Umno semakin menjadi-jadi, katanya.

Malah, dakwanya, ia lebih teruk daripada yang berlaku dalam dua komponen Barisan Nasional (BN) lain iaitu MCA dan Gerakan.

Katanya, politik wang dalam Umno telah berlaku sejak 20 tahun lalu tetapi semakin teruk sejak kebelakangan ini.

"Saya diberitahu dan juga saya difahamkan politik wang dalam Umno lebih teruk dari MCA dan Gerakan.

"Politik wang kini sudah menjadi budaya dalam Umno dan begitu dalam ke dalam tubuh parti.

"Malah lembaga disiplin Umno telah menerima banyak aduan dan laporan mengenai politik wang dalam mesyuarat bahagian yang sedang berlangsung sekarang.

"Jadi saya merasa malu dengan politik wang ini dan kerana itu saya mahu pemimpin kita menghapuskan politik wang," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Cepat lapor

Tengku Ahmad Ritahuddeen berkata, beliau telah memberi banyak cadangan unruk membasmi politik wang tetapi gagal kerana orang bawah menerima wang dan orang atas terus memberi wang.

Sehubungan itu, pengerusi lembaga disiplin Umno itu meminta supaya maklumat mengenai politik wang di dalam parti itu dilaporkan segera kepada lembaga tersebut.

Katanya, jika kes itu dilaporkan selepas dua atau tiga bulan berlaku, lembaga disiplin sukar menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut.

"Sebab itu kita mahu memberi kekebalan kepada pemberi maklumat supaya mereka tidak merasa takut membuat aduan atau memberi maklumat.

"Tetapi selepas melapor mereka tidak boleh menarik balik dan lembaga akan mengambil tindakan kepada mereka yang berbuat demikian," katanya.

Ketika ditanya cadangan Menteri Luar Datuk Seri Rais Yatim supaya pemilihan pemimpin dibuat secara tender, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, `kenyataan Rais itu tidak serius.'

"Ia tidak boleh dibuat secara tender kerana adakah kita mendapat mereka yang betul-betul boleh menjadi pemimpin negara dan parti," katanya lagi.