Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Li perjelas sebab mesyuarat Pemuda dibatalkan...
Diterbitkan:  Oct 25, 2008 4:24 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian Gua Musang yang diadakan Khamis lalu, dibatalkan kerana tidak mematuhi arahan yang diputuskan di peringkat bahagian, kata ketua Umno bahagian Gua

Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh berkata pembatalan mesyuarat itu bukan diputuskan oleh beliau tetapi oleh Ibu Pejabat Umno.

"Mesyuarat itu batal kerana tidak mengikut tarikh mesyuarat yang diputuskan oleh bahagian yang sepatutnya diadakan pada hari ini.

"Pembatalan mesyuarat itu bukan saya yang putuskan tetapi Ibu Pejabat Umno yang telah membuat keputusan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Gua Musang hari ini.

Tengku Razaleigh berkata dengan pembatalan itu, semua keputusan yang dibuat pada mesyuarat Khamis lalu, turut terbatal, demikian menurut laporan Bernama.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya akan menunggu laporan daripada Umno bahagian Gua Musang sebelum membuat keputusan berhubung pertindihan mesyuarat pergerakan Pemuda bahagian itu yang diadakan pada hari ini dan Khamis lalu.

"Kena tunggu laporan bahagian Gua Musang dahulu untuk dinilai dan disiasat. Badan perhubungan Umno tidak boleh masuk campur urusan mesyuarat bahagian," katanya kepada Bernama di Kota Bharu.

Mesyuarat Pemuda bahagian itu hari ini yang dihadiri 78 perwakilan dari 78 cawangan sebulat suara mencalonkan naib ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk bertanding jawatan ketua Pemuda dan ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim sebagai calon naib ketua.

Mesyuarat perwakilan Pemuda bahagian itu yang diadakan Khamis lalu dihadiri 189 perwakilan daripada 79 cawangan dan turut dihadiri wakil Pemuda Umno Negeri.

Mesyuarat itu mencalonkan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo untuk jawatan ketua Pemuda dan exco Pemuda Datuk Reezal Merican Naina Merican untuk jawatan naib ketua.

ADS