Puteri: Rosnah, Shahaniza seri lagi
Sekali lagi naib ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan ketua penerangan pergerakan itu, Datuk Shahaniza Shamsuddin memperolehi pencalonan yang sama banyak.
Hari ini mereka menambah pencalonan dan masing-masing memperolehi 61 pencalonan sehingga lewat petang tadi.
Rosnah mendapat pencalonan tambahan hari ini dari bahagian Teluk Intan, Perak dan Pulai, Johor.
Manakala Shahaniza pula memperoleh pencalonan dari Temerloh dan Sungai Siput.
Seorang lagi calon, setiausaha pergerakan Bibi Sharliza Mohd Khalid mendapat pencalonan tambahan dari bahagian Kota Bharu dan Tampin.
Berikutan itu, beliau sehingga ini memperolehi 24 pencalonan.
Manakala pengerusi tetap Puteri bahagian Petaling Jaya Utara Ida Rahayu Mohd Noor berjaya memperolehi dua pencalonan yang diperlukan untuk layak bertanding jawatan ketua pergerakan itu.
Hari ini beliau mendapat pencalonan yang diperlukan itu dari bahagian Kulim-Bandar Baharu.
Pengerusi biro keahlian pergerakan itu, Datin Ismalina Ismail masih kekal dengan 30 pencalonan, Ketua Puteri Pulau Pinang Azlina Mehtab Mohd Ishaq (10) dan ketua Puteri Terengganu Senator Nordiana Shafie (1).
Sebanyak 189 bahagian Puteri telah bermesyuarat setakat ini.

