Malaysiakini BERITA

Masalah Giant-MB T'ganu kekal misteri

Jimadie Shah Othman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

kemaskini 8:56pm Menteri besar Terengganu memanjangkan lagi teka-teki masalah kelewatan pembukaan pasar raya besar Giant di Kerteh selepas mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

Datuk Ahmad Said tidak menghuraikan dengan jelas isu tersebut, malah menggesa media mendapatkan maklum balas daripada pegawai tinggi GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd sebelum beliau sendiri memberikan ulasan lanjut.

Malaysiakini minggu lepas mendedahkan Giant gagal beroperasi di Mesra Mall lebih sebulan akibat gagal mendapatkan kelulusan daripada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), didakwa akibat campur tangan Ahmad.

Sumber-sumber pasar raya itu dan MPK memberitahu, ia bercadang membuka premis barunya itu di Jalan Kemaman-Dungun sejak 24 September tetapi gagal mendapat lesen.

Rangkaian pasar raya milik GCH Retail (Malaysia), yang berusia 60 tahun, difahamkan ingin dibuka selewat-lewatnya 15 Oktober tetapi hingga sekarang tidak jelas kenapa belum menjalankan perniagaan.

Sumber di pihak berkuasa tempatan itu berkata, masalah lesen Giant itu "berkaitan dengan Datuk Ahmad", yang juga wakil rakyat Kijal.

Usaha Malaysiakini banyak kali sejak Selasa minggu lepas gagal mendapatkan reaksi menteri besar berkenaan.

Bercakap kepada akhbar Sinar Harian selepas pulang dari luar negara Khamis lepas, Ahmad dilaporkan bersedia memberi penjelasan mengenai perkara itu ketika bertemu media selepas mesyuarat mingguan exco tadi.

Dalam sidang media hari ini, difahamkan Ahmad menyatakan Giant "tidak boleh buka dulu, baru buat permohonan."

Beliau juga mengakui pernah berunding dengan pegawai tinggi pasar raya besar sebelum ini.

Sumber di Giant sebelumnya bagaimanapun mendakwa ia telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan untuk menjalankan operasinya termasuk mendapat pengiktirafan keselamatan daripada jabatan bomba dan mengikuti garis panduan pengubahsuaian bangunan MPK.

Mesra Mall, yang dibangunkan oleh KLCC (Holdings) Sdn Bhd di atas tanah seluas 12 hektar dan diurus oleh Suria KLCC Sdn Bhd, telah dirasmikan oleh exco pembangunan luar bandar, usahawan dan koperasi Datuk Mohamed Awang Tera pada 10 Oktober lepas.

Difahamkan Giant merupakan penyewa utama kompleks membeli-belah yang diberikan jolokan "mutiara timur anda."

Menurut pelan lantai Mesra Mall, Giant ditempatkan di penghujung kanan dan kiri bahagian depan kompleks itu.