Institusi bebas semak fatwa M'sia
dikemaskini Darul ifta atau institusi bebas bagi menyemak fatwa yang dikeluarkan di negara ini akan ditubuhkan dalam waktu terdekat, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri.
"Insya Allah dalam waktu yang terdekat darul ifta' ini akan dapat ditubuhkan sebagai sebuah institusi kajian terhadap fatwa di Malaysia," kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Menjawab soalan Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) di Dewan Rakyat, beliau menjelaskan institusi bebas itu akan mengkaji, menilai dan meneliti fatwa berdasarkan kepada sumber-sumber hukum ataupun kes-kes terbaru yang wujud di negara-negara lain terutamanya keputusan yang dibuat di peringkat mesyuarat menteri-menteri agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Menurut Bernama , Dr Ahmad Zahid juga menjelaskan, kerajaan belum berhasrat mewujudkan jawatan mufti negara atau mufti bertaraf nasional buat masa ini.
Jawatan itu bagaimanapun akan diwujudkan jika terdapat keperluan kepada negara satu hari nanti, tambahnya.
Katanya lagi, Majlis Fatwa Kebangsaan juga sedang berusaha
mewujudkan perkhidmatan dalam talian bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat dengan cepat mengenai sesuatu permasalahan berkaitan fatwa.
Terdahulu ketika menjawab soalan Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), menurut agensi berita itu lagi, Ahmad Zahid berkata fatwa yang dikeluarkan di Malaysia melalui tiga kaedah iaitu arahan mesyuarat Majlis Raja-raja, permohonan atau pertanyaan daripada masyarakat dan kajian oleh bahagian penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Beliau berkata fatwa yang diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia akan dibawa ke Jawatankuasa Fatwa/Perundingan Syarak Negeri-negeri.
"Fatwa yang diputuskan oleh Muzakarah itu atas arahan mesyuarat Majlis Raja-raja tidak boleh dipinda dan akan diwartakan oleh negeri, manakala bagi fatwa selain daripada arahan mesyuarat Majlis Raja-raja, negeri boleh meminda keputusan tersebut atau menerimanya tanpa pindaan, seterusnya dilakukan proses pewartaan fatwa di peringkat negeri," katanya.

