Sebab T'ganu tidak mahu ketua bahagian dicabar
Badan perhubungan Umno Terengganu membuat keputusan supaya penyandang ketua bahagian tidak dicabar dalam pemilihan parti sekarang, bagi mengelak berlaku perpecahan di peringkat bahagian.
Ketika menjelaskan demikian, Setiausaha Umno negeri, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, ia diputuskan dalam mesyuarat badan perhubungan itu, yang diadakan sebelum cawangan mula bermesyuarat Julai lalu.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, yang juga pengerusi badan perhubungan Umno negeri.
Rosli berkata, mesyuarat tersebut memutuskan - kecuali jawatan ketua - jawatan-jawatan lain boleh ditandingi kerana ia dirasakan tidak memberi kesan kepada bahagian.
Dalam mesyuarat tersebut, katanya, semua bahagian bersetuju supaya ketua bahagian tidak dicabar, kecuali jika ada kekosongan.
"Parti memberi nasihat supaya mereka tidak mencabar penyandang jawatan ketua bahagian atas alasan untuk mengekal perpaduan ahli, terutama di peringkat bahagian.
"Apa yang kita fahamkan mereka setuju dengan cadangan tersebut (untuk tidak mencabar ketua bahagian)," katanya.
Rosli yang juga ketua Umno bahagian Dungun berkata, semua exco kerajaan negeri dari kalangan pemimpin Umno, juga bersetuju dengan cadangan menteri besar supaya jawatan ketua bahagian tidak dicabar.
Tindakan terhadap exco
Bagaimanapun, mereka boleh bertanding jawatan lain seperti timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian dan jawatan-jawatan lain.
"Tetapi saya tidak tahu kandungan persetujuan antara exco dengan Ahmad kerana ia membabitkan jawatan dalam kerajaan dan bukan parti (Umno)," katanya.
Sebelum ini, menteri besar dilaporkan berkata, beliau akan menggugurkan exco Yahya Khatib Mohamad kerana tindakannya mencabar ketua Umno bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar dalam pemilihan bahagian tersebut baru-baru ini.
Dalam pemilihan tersebut, Yahya yang juga ahli jawatankuasa (AJK) bahagian Marang mendapat 412 undi manakala Abdul Rahman mendapat 214 undi.
Selain Marang, ketua Umno bahagian Setiu, Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun turut cabar.
Rosli sendiri dicabar oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi Datuk Din Adam. Bagaimanapun beliau menang dengan mojoriti 80 undi.
Ketika ditanya mengenai tindakan Ahmad untuk menggugurkan Yahya, setiausaha badan perhubungan Umno negeri berkata, ia adalah urusan mereka berdua.
"Saya tidak tahu kerana ia isu jawatan dalam kerajaan negeri tetapi ada hubung kait dengan tindakan Yahya melawan Abdul Rahman di Marang," katanya lagi.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga presiden Umno berkata, ahli-ahli parti itu tidak boleh dilarang bertanding sebarang jawatan parti, mereka berhak berbuat demikian.

