Umno Tanjung Karang undi guna sistem digital
Umno Bahagian Tanjong Karang menggunakan sistem digital bagi proses pengundian calon dalam mesyuarat bahagian itu hari ini.
Melalui penggunaan sistem digital tersebut, yang dibekalkan oleh kakitangan Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (ANGKASA), , proses pemilihan diselesaikan dalam tempoh sehingga 45 minit.
"Sistem digital yang menggunakan kod bar itu menjimatkan masa berbanding proses pemilihan sedia ada yang menggunakan sistem manual yang digunakan hampir semua Umno bahagian yang mengambil masa sehingga lewat petang dan malam," kata Menteri Pembangunan dan Koperasi, Datuk Noh Omar yang juga ketua Umno bahagian berkenaan.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat bahagian tersebut, Bernama melaporkan Noh berkata menerusi penggunaan sistem digital itu, semua perwakilan akan diberikan kad bergambar yang mempunyai kod bar dan proses pengundian menggunakan
mesin pengimbas.
"Setiap undian akan dipaparkan di skrin besar bersebelahan pentas utama bagi membolehkan perwakilan melihat perjalanan pengundian untuk memastikan tiada penipuan.
"Risiko untuk berlaku kesilapan dan penipuan undi lebih rendah berbanding secara manual kerana semua kertas undi mengandungi kod bar," katanya yang mempertahankan jawatan ketua bahagian untuk penggal yang keempat.
Menurutnya, selepas kad itu diimbas mengunakan mesin pengimbas, undi yang dipilih oleh setiap ahli akan diasingkan secara automatik mengikut calon yang bertanding.
Katanya, setiap perwakilan perlu menunjukkan kad pengenalan sebelum diberikan kad bergambar dan kupon yang mempunyai kod bar.
Noh berkata penggunaan sistem mengikut teknologi komunikasi dan makumat (ICT) dalam pemilihan undi mahupun kempen, merupakan perkembangan yang baik dan dijangka menjadi trend dalam pilihanraya akan datang.
Sementara itu, Ketua Unit ICT ANGKASA, Noorashidi Nazari, berkata sistem digital digunakan dalam pemilihan ANGKASA dan Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat).
Katanya, kos menggunakan sistem itu lebih murah, malah keputusan lebih cepat dan risiko berlaku kesilapan kiraan adalah lebih rendah.

