Kementerian Dalam Negeri (KDN), dalam usahanya untuk menghidupkan semula rancangan untuk menubuhkan Majlis Media, telah mengadakan perjumpaan dengan 30 editor dan wakil badan-badan yang berkaitan, semalam.

Mesyuarat tersebut, yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abdul Aziz Mohd Yusof, bertujuan untuk mendapatkan pandangan pihak-pihak yang terbabit dalam media cetak, elektronik dan internet berhubung rancangan penubuhan majlis tersebut bagi mengawal-selia industri media di negara ini.

Institut Akhbar Malaysia (MPI), badan yang dianggotai 35 badan media, memulakan perbincangan dengan mengemukakan draf 11 perkara yang menerangkan fungsi serta dana untuk majlis tersebut.

Menurut Che Din Yusof dari KDN, draf MPI itu diterima baik oleh majoriti mereka yang hadir walaupun "sesetengah editor tidak sepakat" dengan mekanisme yang terkandung dalam cadangan tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini , Che Din berkata setiap yang hadir memberi pandangan masing-masing mengenai cadangan penubuhan Majlis Media itu.

Menurutnya, majoriti editor yang hadir, bersetuju dengan cadangan tersebut tetapi yang lainnya berpendapat ia boleh menjadi satu lagi undang-undang yang menyekat kebebasan.

Ditanya sama ada pihak kementerian akan memansuhkan undang-undang seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) yang dianggap sebagai penghalang kepada kebebasan media, Che Din berkata adalah lebih baik untuk bersetuju menubuhkan Majlis Media itu terlebih dahulu sebelum menyemak undang-undang yang lain.

Bagaimanapun, tidak ramai editor yang bersetuju dengan KDN.

Baca berita penuh