Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fatwa: Abim pandang berat pihak anjur protes
Diterbitkan:  Nov 12, 2008 6:39 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang berat tindakan pihak-pihak tertentu menganjurkan protes umum atau membuat kritikan terbuka terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai pengharaman perlakuan tomboy atau pengkid serta fatwa mengenai Yoga yang sedang dipertimbangkan.

Presiden Abim, Yusri Mohamad berkata, Majlis Fatwa Kebangssaan merupakan sumber rujuk utama bagi umat Islam di negara ini untuk mencari penyelesaian tentang sebarang kemusykilan mengenai hal-hal agama.

"Fatwa yang dikeluarkan, akan melalui proses perbincangan yang teliti dan bersandarkan kepada sumber-sumber hukum sahih serta kaedah-kaedah perundangan Islam yang muktabar.

"Oleh sebab itu, fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak patut dipertikaikan dengan mudah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jika pertikian tetap timbul, tambahnya, ia hendaklah disalurkan ke proses perbincangan yang tertutup.

Yusri berkata ia sama sekali tidak sesuai menjadi perbahasan di kalangan masyarakat awam, lebih-lebih lagi jika dijadikan bahan untuk menganjurkan protes umum atau demonstrasi.

"Abim juga khuatir tindakan pihak-pihak tertentu, terutama sekali pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan bukan Islam, melakukan protes terbuka terhadap fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan, akan mencetuskan suasana ketegangan dan perselisihan di kalangan umat Islam khususnya dan masyarakat amnya di negara ini," katanya.

Abim, tambah Yusri, berpendapat bahawa pendekatan terbaik untuk menangani sebarang kemusykilan dan pertikaian mengenai fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan adalah dengan disalurkan secara sihat melalui perbincangan ilmiah tertutup yang disertai oleh pihak ataupun individu yang mempunyai kepakaran dalam isu yang dibincangkan.

"Pada yang sama, Abim mencadangkan agar Majlis Fatwa Kebangsaan atau pihak berkuasa agama yang berkenaan, mengambil inisiatif lebih agresif untuk menjelaskan kepada masyarakat umum, rasional fatwa pengharaman tomboy atau pengkid, untuk meningkatkan kefahaman masyarakat pelbagai agama di negara ini mengenai isu tersebut.

ADS