Empat hari selepas isterinya hilang apabila bandar Mumbai diserang pengganas, usaha keras K Sivakumaran mencarinya belum menampakkan tanda akan berakhir.

Beliau sudah mencari di serata hospital di Mumbai, setiap pusat perubatan yang terdaya dihubungi dan setiap pihak yang dapat ditemuinya, namun ia masih menemui jalan buntu.

Hema Kasipillay, 51, yang bertugas dengan sebuah syarikat insurans Jerman di Kuala Lumpur menginap di Hotel Taj Mahal Palace semasa ia diserang dan ditawan pengganas pada hari Rabu lepas.

Sivakumaran berkata isterinya itu tiba di Mumbai pada hari Selasa, sehari sebelum kejadian dan dijadual pulang ke Bangsar pada 5 Disember, namun selepas serangan itu, beliau tidak lagi menerima sebarang khabar berita dari isterinya.

"Rakan sekerjanya ada menghubunginya sehingga pukul 1 pagi pada 27 November, tetapi apabila pihak keselamatan memutuskan setiap rangkaian komunikasi, mereka tidak dapat lagi menghubunginya. Kami tidak tahu apa yang berlaku kepadanya selepas itu," kata beliau kepada Bernama ketika ditemui di Hotel Taj Mahal di Mumbai.

"Kali terakhir saya hubunginya ialah pada 27 November pada pukul 2 petang waktu Malaysia, tapi tiada jawapan. Pada sebelah malamnya saya hantar SMS, ia juga tiada balasan. Saya datang ke sini untuk mencarinya, mungkin dia tidak sedarkan diri atau mungkin berada di hospital, saya harap dapat temuninya," katanya.

Sivakumaran pengurus sebuah syarikat keselamatan bertambah risau dengan keadaan isterinya yang mengalami darah tinggi dan memerlukan bantuan ubat dari semasa ke semasa.

Menurut laporan terkini, 183 orang terbunuh termasuk 22 warga asing dalam serangan bersiri Mumbai itu, yang berlarutan sehingga 59 jam.