Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir di T'ganu, K'tan kian buruk
Diterbitkan:  Nov 30, 2008 12:49 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan pagi ini meningkat kepada 3,484 orang berbanding 1,743 orang petang semalam.

"Setakat ini empat daerah di Terengganu terlibat dengan banjir iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Marang," kata jurucakap bilik gerakan banjir negeri, lapor Bernama .

Besut daerah paling buruk dilanda banjir apabila jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,556 orang berbanding 954 petang semalam, diikuti Setiu (964), Hulu Terengganu (609) dan Marang (355).

Jurucakap itu menambah, paras air sungai-sungai Besut, Setiu, Nerus dan Marang masing-masing melepasi paras bahaya.

Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Km29 dibuka satu lorong sahaja pagi ini, manakala Jalan Kuala Berang-Sungai Tong dan Jalan Kuala Berang ke Tasik Kenyir ditutup kepada kenderaan ringan, katanya.

Menurut agensi berita yang sama, keadaan banjir di Kelantan juga semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat kepada 3,415 orang berbanding 2,397 orang semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Kelantan berkata, kesemua jalan utama kini dibuka kepada semua kenderaan kecuali dua buah jalan di daerah Pasir Mas iaitu jalan di Kampung Kajang dan di Kampung Rahmat yang ditutup kepada kenderaan ringan.

Sementara itu, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, tujuh sungai utama di Kelantan kini berada pada paras berjaga-jaga manakala satu sungai utama menghampiri paras berjaga-jaga.

Sementara itu, keadaan banjir daerah Temerloh dan Cameron Highlands pada pagi ini tidak berubah dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan kekal 25 orang, menurut jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Daerah Temerloh masih mencatatkan 12 mangsa dari kampung Kuang, Lanchang yang kini ditempatkan di balai raya Taman Murni manakala 13 mangsa daripada dua keluarga di Cameron Highlands masih berada di dewan orang ramai Ringlet.

Katanya, dua jalan di daerah Bera iaitu jalan Kampung Orang Asli Chuat dan jalan Kampung Orang Asli Ibam masih ditutup kepada kenderaan ringan selepas air setinggi satu meter melimpahi jalan.

ADS