MIC menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar merujuk parti itu sebelum merobohkan kuil atau tempat sembahyang Hindu.

Mengulas tindakan DBKL merobohkan sebuah tempat sembahyang kecil di Taman Desa semalam, Datuk Seri S Samy Vellu berkata tindakan PBT itu salah dan bertentangan dengan arahan kerajaan.

"Saya mahu kerajaan mengeluarkan arah kepada semua PBT agar merujuk MIC sebelum merobohkan kuil atau tempat sembahyang," katanya.

mic and indian temples Tambahnya, DBKL pernah berusaha merobohkan sebuah kuil di Jalan Masjid India bulan lepas tetapi MIC berjaya menghalang tindakan tersebut.

"Ini kerana sekeping tanah telah dikenal pasti untuk memindahkan kuil tersebut dan saya sendiri menderma RM55,000 untuk membina bangunan baru," katanya dalam satu kenyataan.

Sambil menyatakan kekesalan terhadap tindakan DBKL, Samy Vellu menggesa PBT itu menjelaskan tindakannya yang mencanggahi arahan kerajaan.

Beliau juga menegur DBKL yang tidak mengeluarkan notis perobohan dengan rasmi kepada pihak pengurusan tempat sembahyang itu, sebaliknya hanya menampalkan arahan itu di dinding binaan itu.

Bekas menteri kerja raya itu juga berkata binaan itu yang bersaiz 8 kaki x 8 kaki di sebuah padang tidak menimbulkan sebarang masalah dan mempertikaikan tindakan segera DBKL untuk merobohkannya.