kemaskini 11:20pm Umno bahagian Kuala Terengganu menyerahkan kepada badan perhubungan negeri untuk menentukan calon Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil parlimen tersebut.

Difahamkan Umno negeri akan mengadakan menyuarat secepat mungkin bagi membincangkan pemilihan calon tersebut.

Ahli jawatankuasa Umno Kuala Terengganu, Sulaiman Ali memberitahu Malaysiakini , keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat khas Umno bahagian malam tadi.

"Kita langsung tidak membincangkan isu calon kerana mahu menyerahkannya kepada badan perhubungan Umno negeri.

"Mesyuarat malam tadi hanya membincangkan mengenai persiapan jentera pilihanraya parti peringkat bahagian bagi menghadapi pilihanraya kecil tersebut," katanya hari ini.

Tambahnya, ketua bahagian itu Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata Kuala Terengganu enggan mendahului keputusan badan perhubungan yang diketuai oleh Datuk Ahmad Said.

"Biar perhubungan pilih dan tentukan calon. Sebagai contoh, kalau ia (badan itu) hendak tiga nama, kita berikan tiga nama. Kalau ia hendak lima nama, kita berikan lima nama," kata Sulaiman.

Mengulas sikap bahagian itu yang enggan menyerahkan nama calon, setiausaha badan perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan berkata:

"Kenapa harus kita (badan perhubungan) yang pilih (calon)?

"Sepatutnya mereka (bahagian) memberikan (cadangan calon) kepada kita, selepas itu barulah kita serahkan kepada (Umno) pusat."

Ketika dihubungi, Rosli menambah, badan perhubungan Umno negeri akan bermesyuarat esok malam.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada isu pemilihan calon parlimen Kuala Terengganu akan dibincangkan atau tidak.

'Saya sendiri masih belum tahu'

Menurut laporan Bernama lewat petang ini, Ahmad yang juga pengerusi BN negeri berkata beliau belum menerima cadangan calon-calon daripada bahagian Kuala Terengganu.

"Kita bercadang mengumumkan nama calon lebih awal bagi mengurangkan spekulasi.

"Bagaimanapun, saya sendiri masih belum tahu bakal calon, macam mana saya nak umumkan lebih awal.

"... awal atau lewat kemukakan calon, itu biasalah. Yang penting kita kena kerja kuat untuk mencapai kemenangan," Ahmad dipetik berkata di Kuala Terengganu, mengulas saranan Wan Ahmad Farid.

Agensi berita yang sama juga melaporkan, ketua bahagian Kuala Terengganu berkata mesyuarat bahagian telah memutuskan senarai calon-calon yang akan diserahkan kepada badan perhubungan negeri.

"...ikut perlembagaan parti, bahagian diminta cadangkan nama calon kepada perhubungan dan bahagian telah buat ketetapan. Ketetapan itu akan saya panjangkan kepada perhubungan untuk buat pertimbangan secepat mungkin," katanya, seperti dilaporkan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan senarai nama calon dan jumlah individu yang dikemukakan.

Tambahnya, Umno bahagian mencadangkan kepada perhubungan negeri agar mengumumkan nama calon lebih awal untuk mengelakkan spekulasi media dan sekali gus memudahkan jentera parti menumpukan perhatian menghadapi pilihan raya kecil itu, lapor Bernama lagi.

Mesyuarat bahagian malam tadi yang dipengerusikan Wan Ahmad Farid - yang diura-urakan calon terbaik BN di kerusi tersebut - berlangsung kira-kira dua jam.

Semua AJK Umno bahagian hadir kecuali Senator Datuk Roslan Awang Chik yang difahamkan tidak berada di Terengganu.

kuala terengganu by election wan farid bn candidate 031208 Selain Wan Ahmad Farid yang juga timbalan menteri, calon-calon lain yang disebut-sebut termasuklah Roslan dan ketua penerangan Umno negeri, Datuk Zuber Embong.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, hujung bulan lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Januari sebagai hari penamaan calon dan 17 Januari sebagai hari mengundi.

Umno perkenal taktik K-5

Sulaiman yang juga ketua Umno cawangan Kampung Kuala Ibai berkata, mesyuarat khas malam tadi telah membincangkan secara mendalam persiapan dan strategi parti bagi menghadapi pilihanraya berkenaan.

Dalam pilihanraya kali ini, Umno memperkenalkan taktik K-5 atau satu anggota Umno memantau lima keluarga pengundi, berbanding K-10 sebelum ini yang dianggap "terlalu ramai" untuk diselia, tambahnya.

Katanya lagi, Wan Ahmad Farid dilantik sebagai pengarah peringkat bahagian pilihanraya kecil parlimen berkenaan, manakala timbalan pengarah diserahkan kepada Mohd Sabri Alwi.

"Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Umno akan mengadakan mesyuarat bagi membentuk jentera pilihanraya maisng-masing," katanya.

Sulaiman menambah, Umno juga mengenal pasti ada tempat tertentu di empat DUN dalam kawasan tersebut yang boleh dianggap sebagai kawasan gelap atau sukar dimenangi BN.

“Kita juga menjangka pembangkang akan menggunakan isu lapuk seperti Piala Monson dan Masjid Kristal sebagai bahan utama kempen mereka.

"Tetapi kita telah bersedia untuk menjawabnya," katanya.

Seorang lagi AJK bahagian Asmadi Awang ketika dihubungi mengesahkan isu calon tidak dibincangkan dalam mesyuarat khas tersebut.

Katanya, bahagian menyerahkan calon ditetapkan oleh badan perhubungan Umno Terengganu.