Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GMI: 17 tahanan ISA dibebaskan
Diterbitkan:  Dec 11, 2008 3:10 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Pembebasan 17 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak sebulan lalu, termasuk yang berprofil tinggi Yazid Sufaat, melambangkan kemenangan kempen membantah akta tersebut.

Selain mengalu-alukan pembebasan itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menambah, tindakan kerajaan melepaskan mereka dari kem tahanan Kamunting, Taiping hasil kesungguhan mereka, termasuk "Bebaskan tahanan enam tahun ISA" sejak April lepas.

Penyelaras gerakan itu Nalini E berkata kempen tersebut telah menjadi pemangkin utama pembebasan tersebut.

Tahanan-tahanan yang dibebaskan itu - termasuk penulis blog kontroversi Raja Petra Kamarudin - semuanya dibebaskan antara 5 November hingga 4 Disember.

Daripada jumlah itu, tujuh tahanan yang dikaitkan dengan gerakan radikal Jemaah Islamiah (JI), tiga (gerakan Darul Islam), dua (pemisah Thailand selatan), dua (perisik asing), dua (memalsukan dokumen) dan seorang penulis blog.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam hanya memaklumkan enam tahanan ISA dibebaskan, termasuk Yazid - yang dikaitkan dengan tragedi pengeboman Pusat Dagangan Dunia di New York 2001.

Nalini menambah, pembebasan 17 orang itu tidak bermakna ada kemajuan bermakna keadaan hak asasi manusia di negara ini kerana 46 tahanan - termasuk lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) - masih meringkuk di kem Kamunting.

"Tiada seorang tahanan didakwa dengan apa-apa kesalahan," katanya.

"Kami mendesak kerajaan membebaskan semua baki tahanan ISA dan menghapuskan ISA serta semua undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa perbicaraan."

ADS