Rang Undang-undang Perlindungan Saksi dibentang di Parlimen
Peruntukan dalam Rang Undang-undang Perlindungan Saksi yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat hari ini memberi banyak kuasa membuat keputusan kepada Peguam Negara (AG) dan menteri yang berkenaan.
Cadangan utamanya ialah tindakan dan keputusan pegawai-pegawai penting yang terbabit, tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
Rang undang-undang tersebut dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz pagi tadi.
Ia mencadangkan satu program untuk melindungi saksi, yang akan diselia oleh seorang ketua pengarah (KP) yang dilantik oleh menteri yang berkenaan.
KP tersebut akan membuat syor-syor bagi perlindungan dan lain-lain bentuk bantuan kepasa saksi atau orang lain yang terbabit dalam program tersebut.
Syor-syor tersebut akan diluluskan KP. Jika beliau menolaknya, para saksi boleh membuat rayuan bertulis kepada menteri dalam tempoh 14 hari.
Alasan-alasan bagi keputusan AG dan syor-syor KP itu perlu dikemukakan kepada menteri untuk dipertimbangkan.
Seksyen 10 dan 16 rang undang-undang memberi tahap kuasa yang besar kepada AG, termasuk menamatkan keistimewaan yang dinikmati oleh seseorang saksi di bawah program tersebut.
KP dan para pegawainya tidak wajib mendedahkan maklumat atau dokumen dalam simpanan mereka, sama ada kepada mahkamah, tribunal, suruhanjaya atau panel siasatan.
Menurut rang undang-undang itu lagi, keputusan atau tindakan menteri - bersama dengan KP dan AG - akan dikecualikan daripada semakan di mahkamah.
Syarat untuk saksi
Peruntukan tersebut membenarkan mana-mana individu memohon kepada KP untuk menyertai program tersebut.
Begitu juga jika sesebuah agensi penguatkuasa mahu memohon (bagi pihak saksi), ia boleh berbuat demikian dengan persetujuan bertulis saksi.
Dalam kes-kes yang membabitkan saksi di bawah umur 18 tahun, ibu bapa diperlukan untuk membuat permohonan bagi pihak anak-anak mereka.
Klausa 8 mengkehendaki pemohon mendedahkan "perkara-perkara tertentu" seperti obligasi perundangan, hutang, status cukai dan sama ada mereka mempunyai rekod jenayah atau terbabiat dalam sebarang prosiding sivil.
Pemohon juga dikehendak mendedahkan sama ada mereka berdepan dengan sebarang sekatan undang-undang untuk mendedahkan maklumat.
Di bawah Bahagian 3 dan klausa 14 rang undang-undang tersebut, jika seseorang saksi didapati terikat dengan sekatan perundangan seumpama itu, maka KP perlu menguruskan kes-kes mereka mengikut undang-undang yang berkenaan.
Baca berita penuh

