Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi tiada halangan terima Mat Sabu
Diterbitkan:  Dec 17, 2008 10:01 AM
Dikemaskini: 10:05 AM

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak mempunyai halangan jika naib presiden Mohamad Sabu dicalonkan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

"Kita dengar semua pandangan. Sebagai presiden, saya tidak mempunyai halangan jika Mohamad Sabu dicalonkan. Tetapi, akhirnya keputusan dibuat oleh suara majoriti," katanya.

mat sabu mohamad sabu Beliau diminta mengulas pandangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berharap Mohamad Sabu(foto) dikekalkan sebagai calon dalam pilihanraya kecil itu, lapor Bernama.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian Datuk Razali Ismail, yang juga timbalan menteri pelajaran, dipercayai akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, 28 November lepas.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lepas, Razali selaku penyandang, menewaskan Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

Ketika ditemui di luar dewan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini, Abdul Hadi berkata, setiap PAS negeri mempunyai pandangan mereka sendiri.

Katanya, PAS akan menilai pandangan pelbagai pihak, termasuk penulis blog, sebelum menentukan calon untuk bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Menurut Abdul Hadi lagi, pemilihan calon yang benar-benar sesuai, adalah faktor yang paling penting dalam usaha mereka merampas kerusi tersebut daripada Barisan Nasional (BN).

Sokongan pengundi

"Kita akan lihat semua termasuk pandangan dari penulis blog, malah surat layang juga kita akan lihat sebelum menentukan calon," katanya.

Abdul Hadi, yang baru pulang mengerjakan ibadah haji dua hari lepas, berkata pada masa ini, pihaknya sedang membuat penelitian rapi terhadap calon yang boleh mendapatkan sokongan pengundi di Kuala Terengganu.

"Kita sedang tunggu laporan dari PAS cawangan, kawasan dan negeri. Kajian terperinci perlu dilakukan bukan sahaja di kalangan penyokong PAS, malah masyarakat keseluruhan di Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata ketokohan seseorang pemimpin itu penting memandangkan pilihanraya kecil itu diadakan di sebuah bandaraya, dengan kemudahan infrastruktur bukan menjadi masalah kepada pengundi.

Abdul Hadi berkata Jawatankuasa PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas di Kuala Terengganu Sabtu ini dan agenda utama adalah membincangkan soal calon.

"Selepas nama calon dipilih, kita akan serahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian," katanya.

Beliau berkata dari pemantauan awal yang dilakukan, parti itu yakin untuk merampas kerusi parlimen tersebut daripada BN.

ADS