Sebanyak 21 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak polis supaya jangan "mengganggu atau menahan" peserta "Rakyat Pengayuh Perubahan" yang akan menamatkan ekspedisi mereka di bangunan Parlimen esok, selepas 16 hari menjelajah seluruh negara.

Ketika membuat gesaan tersebut, mereka menuntut supaya Menteri Dalam Negeri, Datuk Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya segera berhenti mengganggu peserta kempen tersebut.

"Menteri berkenaan dan polis mesti menjamin kebebasan dan keselamatan peserta untuk menyerahkan memorandum menuntut perubahan institusi dan dasar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (esok)," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Kempen berbasikal anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) itu berdepan dengan gangguan dan penahanan oleh pihak polis sejak hari pertama ia dilancarkan pada 3 Disember lalu.

Dua kumpulan penunggang berlepas dari Kedah dan Johor untuk menyemarakkan kesedaran awam tentang isu-isu kekurangan makanan, masalah alam sekitar, penggunaan undang-undang kejam dan krisis ekonomi global yang melanda. Baca berita penuh

Serah memorandum

jerit ride for change campaign shah alam event 171208 06 Sementara itu, di Shah Alam, Bernama melaporkan, seramai 120 peserta kempen 'Rakyat Pengayuh Perubahan' itu menyerahkan satu memorandum mengandungi enam tuntutan kepada

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.

Memorandum itu menuntut agar satu akta gaji minimum digubal, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, perumahan selesa diberikan kepada rakyat, harga barangan dikawal, pilihanraya majlis tempatan diadakan dan penswastaan perkhidmatan asas dihentikan.

Rombongan peserta yang mengayuh basikal serta memakai kemeja-t berwarna merah sebelum itu bertolak dari Taman Pertanian Malaysia di Shah Alam pada jam 11.30 pagi dan tiba di Bangunan SUK pada jam 1.05 petang.

Tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan mereka yang turut dikawal oleh polis.