Parlimen debat isu 20,000 nelayan mogok
Mogok 20,000 nelayan - untuk menuntut harga minyak bersubsidi RM1 seliter - akan dibahaskan di Dewan Rakyat petang ini, hari terakhir persidangan untuk tahun ini.
Usul tergempar yang dibawa oleh Chong Chien Jen (DAP-Bandar Kuching) oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ia dipertimbangkan menurut Seksyen 18 (1) Peraturan Tetap yang membolehkan sesuatu isu yang khusus, berkepentingan awam dan perlukan kesegeraan dibahaskan dengan serta-merta.
Perbahasan yang bermula jam 4.30 petang ini dijangka memakan masa kira-kira satu jam.
Chong semasa membentangkan usul berkenaan berkata mogok nelayan dilancarkan ekoran kenaikan harga diesel dan berleluasanya aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan asing di perairan negara.
Usul Chong berhubung perkara yang sama hujung bulan lalu pernah ditolak oleh Dewan Rakyat - kira-kira tiga minggu sebelum 24 persatuan nelayan menganjurkan mogok melibatkan 20,000 orang di tujuh negeri.
Mogok yang bermula 12 Disember lalu ditamatkan mulai hari ini selepas dua menteri MCA, Datuk Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Ong Ka Chuan, berjanji akan membawa isu tersebut ke mesyuarat jemaah menteri, esok.
Tindakan ini dipercayai boleh menjejaskan sehingga 50 peratus bekalan ikan negara.
Dikemaskini 7.25 mlm : Sebelum itu, dalam usulnya Chong menyalahkan Kementerian Pertanian dan Asas Tani ekoran berlakunya mogok tersebut.
Katanya, kementerian berkenaan tidak melakukan secukupnya untuk membantu kehidupan para nelayan dan enggan menurunkan harga diesel kepada RM1 seliter berbanding RM1.30 sekarang.
Menjawab tuduhan Chong itu, timbalan menteri berkenaan, Datuk Rohani Abdul Karim menyangkal dakwaan ahli Parlimen Bandar Kuching itu dan menuduh Chong dan DAP cuba mendapatkan publisiti murah.
Beliau juga menyangkal tuduhan pembangkang bahawa kerajaan bersikap zalim dan menganiaya nelayan di negara ini dengan membiarkan hidup mereka melarat tanpa mendapat pembelaan sewajarnya.
Menurut Bernama, Rohani berkata usul tergempar yang dikemukakan Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) mengenai isu mogok oleh nelayan dan tuduhan bahawa kerajaan bersikap zalim adalah keterlaluan tanpa mengambil kira fakta sebenar.
"Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil berat atas permasalahan rakyat terutama nelayan. Saya menafikan sekerasnya tuduhan pembangkang dan berkecil hati terhadap tuduhan yang menyatakan bahawa kerajaan dan juga saya bersikap zalim terhadap nelayan," katanya ketika menggulung perbahasan usul tergempar itu hari ini.
Rohani berkata sejak kerajaan menaikkan harga diesel kepada paras RM2.58 pada pertengahan tahun lepas, tiada sebarang mogok daripada nelayan tetapi apabila kerajaan memutuskan untuk menurunkan harga kepada RM1.30, para nelayan mula melancarkan mogok dan mendakwa kononnya kerajaan telah bertindak zalim
seperti yang didakwa pembangkang.
"Jika kita lihat kembali pada subsidi diesel yang diberikan oleh kerajaan pada tahun 2006, sebanyak RM637 juta telah dibelanjakan, tahun 2007 pula sebanyak RM700 juta dan sehingga 15 Okt 2008 kita telah beri subsidi sebanyak RM807 juta.
"Pada masa yang sama, kerajaan juga telah memberi insentif untuk
mengurangkan beban golongan ini dengan memberi elaun sara hidup bulanan kepada mereka sebanyak RM200 iaitu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM150 juta dan insentif pendaratan ikan sebanyak 10 sen sekilo," katanya.
Beliau berkata kerajaan bersedia mengkaji semula pemberian lesen kepada nelayan yang didapati melakukan kesalahan menjual diesel dengan menarik semula lesen berkenaan.
Beberapa ahli Parlimen BN turut bangun menyokong Rohani, dan menuduh wakil rakyat DAP itu hanya cuba untuk mengambil kesempatan daripada isu untuk menjadi popular.
Selepas kira-kira sejam, Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee menamatkan debat tersebut dan meminta ahli-ahli Parlimen meneruskan prosiding dewan pada hari ini.

