Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar akan mengumumkan laporan keselamatan kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa di Subang Jaya, esok.
Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan berkata demikian kepada pemberita di tempat kejadian apabila ditanya mengenai laporan JKR yang diserahkan oleh Ketua Pengarah JKR Datuk Seri Ir Dr Judin Abdul Karim kepada beliau di pusat operasi bencana alam taman itu pagi tadi, lapor Bernama.
Sementara itu, Judin dalam satu kenyataan akhbar yang diedarkan kepada pemberita di pusat operasi itu berkata tindakan jabatan itu memberikan laporan tersebut kepada pihak polis secara terus adalah bagi memastikan tiada percanggahan dalam penyampaian maklumat tersebut.
"Sebarang maklumat terkini tentang tahap keselamatan di kawasan runtuhan Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, akan dimaklumkan kepada polis secara terus supaya tiada percanggahan dalam penyampaian maklumat," katanya.
Beliau berkata tindakan itu diambil mengikut prosedur kerja yang telah ditetapkan dalam "Arahan Majlis Keselamatan Negara National No.20 - Polisi dan Mekanisme Mengenai Pengurusan Bencana dan Relif."
"Ini adalah tanggungjawab JKR dan dalam hal ini polis merupakan ketua komander operasi tanah runtuh maka laporan itu perlu diserahkan kepada mereka untuk memberi pandangan tentang faktor-faktor lain yang perlu dititikberatkan sebelum mengeluarkan sebarang arahan kepada penduduk.
"Pihak polis pula kemudian akan beri laporan itu kepada Pegawai Daerah yang juga bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bantuan dan Pengurusan Bencana," katanya.
Judin berkata JKR tidak pernah menyulitkan atau mengelirukan mana-mana pihak berhubung penyerahan laporan geo-teknikal dan laporan siasatan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram).
Semalam, Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Selangor dalam satu kenyataan mendakwa tindakan JKR itu amat mengelirukan kerana ia menyulitkan lagi usaha kerajaan negeri untuk membuat keputusan dalam menentukan nasib mangsa kejadian tanah runtuh dengan secepat mungkin.
Judin berkata: "Bukan tujuan kami (JKR) untuk timbulkan sebarang kesulitan kepada Menteri Besar (Selangor) dalam usaha beliau membantu penduduk Bukit Antarabangsa.
"Saya ingin memohon maaf kepada beliau (Khalid) jika terdapat kekeliruan yang memberi tanggapan bahawa laporan ini akan terus diberikan kepada beliau," katanya.
Sementara itu, Abdul Jalil berkata sebuah lampu trafik akan dipasang di laluan alternatif bagi melancarkan laluan kenderaan yang keluar masuk jalan alternatif di Taman Bukit Mewah petang ini.
Pusat media bencana alam dan bilik gerakan pejabat daerah Gombak pula akan ditutup berkuatkuasa 12 tengah malam ini, dan maklumat terkini mengenai kejadian tanah runtuh itu boleh diperolehi dari Jabatan Penerangan daerah Gombak di Taman Batu Caves atau Pejabat Daerah Gombak, di Selayang, katanya.
Bagaimanapun, katanya, pihak polis dan sebilangan kecil Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di kawasan itu.
