BERITA

Mahfuz menang RM120,000 saman Utusan

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Dis 2008, 8:49 pagi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Utusan Melayu Bhd dan bekas ketua pengarangnya membayar RM120,000 kepada ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh pemimpin PAS tersebut.

mahfuz omar Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya memutuskan perkataan yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk "Demonstrasi-Mahfuz isytihar bersama Keadilan" pada 4 Mac, 2001, adalah fitnah dengan niat untuk mencemarkan reputasi Mahfuz.

"Perkataan itu tidak memenuhi elemen komen yang adil, perkataan yang diterbitkan bukan fakta, bukan komen yang adil kerana ia tidak berasas. Perkataan itu juga tidak memenuhi kepentingan awam seperti ditegaskan oleh para defendan" katanya dalam penghakiman bertulis, lapor Bernama.

Katanya, perkataan yang digunakan itu menggambarkan Mahfuz sebagai seseorang yang mempunyai agenda politik dan sedang berusaha menggulingkan kerajaan sedia ada, "yang menyokong keganasan dan paksaan, yang tidak percaya dengan proses demokrasi untuk membawa perubahan dalam kerajaan yang memerintah dan berniat menimbulkan kekacauan dan ketidakstabilan terhadap keharmonian negara.

"Hakikat yang plaintif ialah seorang tokoh politik yang lantang bersuara adalah tidak relevan kerana isu yang perlu ditentukan ialah sama ada perkataan itu diungkapkan oleh plaintif. Para defendan, saya dapati, bukan sahaja gagal memberikan justifikasi bagi penggunaan perkataan itu tetapi juga gagal menunjukkan yang perkataan itu sebenarnya diungkapkan oleh plaintif," katanya.

Berhubung pemberian ganti rugi RM120,000 itu, Hakim Mohd Yazid berkata beliau memberikan pertimbangan kepada kedudukan plaintif sebagai tokoh politik, ahli Parlimen dan tokoh terkenal di kalangan rakannya.

Beliau juga berkata perkataan fitnah itu telah menjejaskan kedudukan politik dan sosial dan reputasi plaintif kerana diterbitkan secara meluas kerana akhbar defendan mempunyai edaran 200,000 naskhah sehari termasuk 800,000 pelawat dan 7.8 juta pelayar laman webnya sebulan bagi penerbitan dalam talian akhbar itu.

"Lebih memburukkan lagi keadaan, para defendan tidak mengemukakan sebarang permohonan maaf untuk mengurangkan kesan buruk terhadap reputasi plaintif," katanya.

Mahfuz, diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin, memfailkan saman pada 2001, menamakan ketua pengarang kumpulan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia ketika itu, Datuk Khalid Mohd, dan penerbit akhbar itu, Utusan Melayu Berhad, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata Khalid secara sengaja dan berniat jahat membenarkan penerbitan dan pencetakan perkataan yang memfitnah beliau dalam akhbar Utusan Malaysia pada 4 Mac, 2001.

Beliau mendakwa perkataan itu telah mengaibkannya dan menjejaskan kredibilitinya di kalangan masyarakat.

Para defendan, dalam pernyataan pembelaan mereka, mendakwa artikel itu adalah betul daripada segi isi kandungan dan fakta dan menafikan ia satu fitnah.

Di luar mahkamah, Mahfuz memberitahu pemberita yang beliau berpuas hati dengan keputusan itu.

"Ini bukan soal amaun, tapi saya hendak membersihkan imej yang tercalar yang dipalitkan media sebelum ini," katanya.

Peguam M Reza Hassan yang mewakili defendan berkata beliau akan mengkaji alasan penghakiman itu sebelum membuat sebarang keputusan untuk merayu.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.