Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam, 46, mempunyai strategi tersendiri untuk menarik sokongan pengundi Kuala Terengganu menjelang hari mengundi 17 Januari ini.

Beliau hanya bergerak di kedai-kedai kopi untuk menyampaikan hasratnya menang dalam pilihanraya kecil parlimen ini.

Di belakang Azharudin, kira-kira 200 penyokong yang membantunya berkempen sepanjang pilihanraya kecil ini, katanya kepada Malaysiakini dalam satu wawancara malam tadi.

Beliau sudah menyediakan 80 keping banting dan 15,000 lagi akan disiapkan dalam masa terdekat ini.

kuala terengganu by election azharudin mamat independent candidate interview 080109 Bagaimanapun, Azharudin tidak menyediakan baju T dan topi untuk diberikan kepada pengundi atau penyokongnya

Tambahnya, jam 1 pagi beliau mensasarkan kempennya kepada pengundi muda, manakala jam 6 pagi untuk pengundi dewasa.

Cara ini, menurut pengamal perubatan alternatif, menerbitkan rasa ikhlas di kalangan pengundi menyokongnya.

"Kalau pergi ke dai kopi saya tidak payah bercakap kerana ada orang lain yang bercakap memberitahu mengenai diri saya.

"Kadang-kadang tuan kedai sendiri bercakap bagi pihak saya. Saya cuma membayar minuman mereka.

"Saya tidak akan angkut mereka ke tempat mengundi, biar mereka pergi sendiri.

"Kawasan Ladang dan Batu Burok saya telah pergi, minggu depan ke kawasan (DUN) Bandar dan Ladang pula," katanya.

Azharudin berdepan dengan dua tokoh gergasi - calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut.

Azharuddin berkata, beliau tidak menghadapi masalah dengan pengundi Cina kerana mereka sudah mengenali ayahnya Datuk Adam Taib.

"Masa saya pergi ke Kampung Cina, mereka kata, mereka sokong saya bertanding," katanya.

Dalam pilihanraya kecil ini, Azharudin terpaksa berkempen menggunakan motosikal sahaja kerana kereta Volvo 244 miliknya tidak boleh digunakan kerana tayar depan telah dicuri.

"Saya hendak pasang sports rim lima lubang dulu, baru boleh guna kereta ini," katanya.

Sementara itu, Azharudin akan mula memasang banting di kawasan-kawasan tertentu di sekitar bandar Kuala Terengganu, esok.

Katanya, ramai kawan akan membantunya memasang banting, bermula di kawasan sekitar bulatan Ladang, mulai jam 2.30 petang.

ADS