BERITA

MCA persoal DAP sokong PAS, tapi bantah hudud

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Jan 2009, 12:16 tengahari

MCA mempersoalkan pendirian DAP berkempen untuk PAS dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu sedangkan parti itu menolak pelaksanaan hukum hudud.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh yang membantah pelaksanaan hukum hudud, bercanggah dengan tindakan parti itu sendiri yang membantu PAS berkempen pada pilihanraya kecil kali ini, lapor Bernama.

"Kalau DAP anggap dirinya mempunyai kredibiliti, DAP perlu memaklumkan

kepada rakyat apa pendirian sebenar mereka. Apa yang dibuat di Kuala Terengganu bercanggah dengan kenyataan pengerusi DAP.

"Rakyat berhak tahu apa sebenar yang terjadi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog dengan pemimpin masyarakat Cina di Dewan Perhimpunan Tiong Hua Terengganu di Kuala Terengganu.

Semalam, Karpal Singh turut mempersoalkan kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan hukum hudud hanya terpakai kepada orang Islam dan bukannya di seluruh negara, adalah mengelirukan.

Karpal dilaporkan meminta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat penjelasan sama ada hukum hudud yang ingin dilaksanakan PAS hanya terpakai kepada orang Islam atau juga melibatkan mereka yang bukan Islam sekiranya PAS berjaya menubuhkan sebuah negara Islam.

Ong berkata PAS sebenarnya takut hendak menjelaskan sama ada pelaksanaan hukum hudud hanya tertakluk kepada mereka yang beragama Islam dan hanya menggunakan parti pembangkang lain seperti DAP and PKR untuk membuat penjelasan yang tidak mencerminkan hasrat sebenar PAS dalam perkara itu.

Ini terbukti, menurut Ong, apabila PAS memerintah Terengganu pada 1999 sehingga 2004, meluluskan Rang Undang-Undang mengenai pelaksanaan hukum hudud walaupun menyedari hakikatnya ia tidak dapat dilaksanakan tanpa persetujuan Parlimen.

"Mereka sedia maklum, ini hanya dapat dilaksanakan di peringkat Parlimen, bukan Dewan Undangan Negeri. Walaupun faham hakikat ini, dia buat juga. Jadi

bila tak dapat dilaksanakan, rakyat Terengganu berhak nak tahu apa sudah jadi," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.