BERITA

Mukriz bantu BN, bimbang penyokong paling tadah

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Jan 2009, 12:45 tengahari

Datuk Mukhriz Mahathir turut membantu calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkempen dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu kali ini.

Semalam anak mantan perdana menteri itu bersama rombongan kira-kira 10 orang berkempen di Kampung Nibong dalam DUN Batu Burok kira-kira jam 3.45 petang.

Mereka berkempen dari rumah ke rumah dengan dibantu oleh penduduk tempatan.

Ketika ditemui Malaysiakini semalam, Mukhriz yang juga calon ketua Pemuda Umno berkata, beliau percaya berkempen dari rumah ke rumah boleh memberi kesan terhadap pengundi untuk memangkah BN.

Cara ini, katanya, membolehkan beliau dan petugas lain menyelami masalah pengundi Kuala Terengganu.

"Selain berkempen, kita memberi rawatan perubatan kepada mereka memerlukannya.

"Mereka memberikan sokongan baik kepada BN dan ini memberi petanda baik kepada calon BN," katanya.

Wan Ahmad Farid ditentang oleh calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Nibong yang ditemui berkata, sebahagian besar pengundi di sini menyokong BN.

Bagaimanapun, kata Baharum Abdul Kadir, trend itu dipercayai telah berubah ekoran terlalu banyak laporan negatif terhadap calon BN.

"Saya bimbang laporan tersebut menyebabkan ada pengundi yang selama ini mengundi BN berpaling tadah mengundi calon PAS," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.