BERITA

BN kini tinggal 137 kerusi Parlimen

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Jan 2009, 2:07 tengahari

Barisan Nasional (BN) kehilangan satu lagi kerusi Parlimen apabila calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh gagal mempertahankan kerusi Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil yang diadakan hari ini.

Sebelum ini, BN kehilangan dua kerusi Parlimen apabila Parti Maju Sabah (SAPP) mengambil tindakan keluar dari gabungan tersebut.

Dengan itu, BN kini mempunyai 137 kerusi di Parlimen. Ekoran kemenangan hari ini, PAS pula kini mempunyai 23 kerusi Parlimen.

Dalam pilihanraya kecil hari ini, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,631 undi.

Beliau mendapat 32,883 undi manakala Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Seramai 79.3 peratus pemilih keluar mengundi hari ini.

Pengundian di 144 saluran di 36 pusat pengundian bermula pada jam 8 pagi dan ditutup tepat jam 5 petang.

Pengumuman rasmi keputusan pilihanraya tersebut diumumkan oleh pegawai pengurus pilihanraya, Wan Mustapha Wan Hassan pada jam 9.29 malam.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail di Institut Aminudin Baki, Genting Highlands pada 28 November lalu.

Dalam pilihanraya umum lalu, Allahyarham Razali menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Dengan itu, pembangkang pula kini mempunyai 82 kerusi Parlimen dan tiga calon bebas - Datuk Ibrahim Ali dan dua ahli Parlimen SAPP.

Selepas pilihanraya umum lalu, BN memenangi 140 kerusi Parlimen, PKR (31 termasuk kerusi PSM), DAP (28) dan PAS (22).

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.