Shabery: Nizar derhaka pada Sultan

   

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah menderhaka kepada Sultan apabila enggan untuk meletak

jawatan seperti yang dititahkan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Katanya orang Melayu mesti tahu dan sedar bahawa mereka mempunyai Raja dan negara mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan bukan sahaja di peringkat persekutuan tetapi juga di peringkat negeri, lapor Bernama.

"Kedaulatan sesebuah negeri itu terletak kepada raja-raja. Oleh itu, adalah wajar, wajib dan semestinya bagi kita patuh dan menjunjung tinggi titah perintah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-Raja kita.

"Jadi sewajarnya kita tidak mengingkarinya, jika tidak, kita akan ditafsirkan sebagai melanggar atau ingkar sekaligus menderhaka kepada Raja,"

katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pra-Tonton rancangan 'Europe Through The Eyes of Malaysian' di ibunegara hari ini.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abu Zahar Ujang pula berkata negara ini mempunyai undang-undang berkaitan dengan kedaulatan dan pembubaran kerajaan negeri dan ini adalah proses yang digunakan selama ini.

Katanya, jika beliau (Nizar) menolak undang-undang serta kedaulatan terbabit, ini jelas menunjukkan beliau tidak hormat kepada pentadbiran negeri itu.

"Sesebuah DUN, jika hendak dibubarkan, mesti mendapat perkenan Tuanku Sultan terlebih dahulu. Jika beliau (Nizar) tidak berbuat demikian, ini sekaligus menunjukkan beliau tidak faham undang-undang dan tidak layak untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri," katanya kepada Bernama.

Undang-undang tubuh negeri

Abu Zahar berkata apa jua perkara termasuk pembubaran DUN harus mendapat perkenan Tuanku Sultan terlebih dahulu seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Beliau berkata kerajaan pimpinan Nizar harus akur bahawa jika Barisan Nasional (BN) kembali menerajui Perak, ia adalah wajar kerana telah terbukti kerajaan Pakatan Rakyat gagal memimpin negeri itu disebabkan pemimpin yang gila kuasa.

Sementara itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Malaysia Osman Abu Bakar berkata Nizar seharusnya ingat beliau dilantik sebagai menteri besar atas perkenan Tuanku Sultan dan jika Sultan menitahkan beliau meletakkan jawatan, maka beliau harus akur.

"Sebagai seorang Menteri Besar, beliau harus bersikap positif demi kepentingan orang Melayu dan menjaga maruah orang Melayu di Perak.

"Pergolakan politik yang sedang berlaku di Perak juga adalah ujian kepada sistem demokrasi berperlembagaan negara," katanya.

Osman berkata, Barisan Bertindak turut meminta orang Melayu di Perak agar optimis terhadap perubahan yang berlaku di negeri itu dan terus menunjukkan kesetiaan kepada Tuanku Sultan.

Mohammad Nizar dalam kenyataan beliau semalam telah mengumumkan langkah drastik dan luar biasa dengan membubarkan DUN serta-merta sebelum mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Bagaimanapun, hari ini Sultan Azlan Shah memutuskan untuk tidak memperkenan pembubaran DUN dan menitahkan supaya Mohammad Nizar dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

Malaysiakini
terkini untuk anda