Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid: Lexus kereta rasmi MB
Diterbitkan:  Feb 7, 2009 3:46 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Kenderaan yang didakwa milik peribadi menteri besar Selangor tetapi disenggara menggunakan wang kerajaan negeri sebenarnya kereta rasmi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kenderaan SUV Lexus bukan kenderaan peribadi tetapi ia adalah kenderaan rasmi saya sebagai menteri besar," jelasnya, mengulas tuduhan beliau menyalahgunakan wang kerajaan negeri untuk menyelenggara kenderaan itu.

Menurut Bernama , Abdul Khalid berkata kenderaan itu hanya digunakan untuk urusan rasmi beliau sebagai menteri besar dan bagi urusan peribadi, beliau menggunakan kenderaan lain.

"Itu (Lexus) saya telah isytihar sebagai kereta rasmi menteri besar, bukan saya gunakan sepenuh masa dan untuk kegunaan peribadi, saya gunakan kereta lain.

"Ia satu amalan biasa bagi perbendaharaan luluskan peruntukan untuk penyelenggaraan kereta untuk tujuan urusan rasmi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil Simpanan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) Ambank dan Kad Si Manja Tawas di kediaman rasminya hari ini.

Gerakan Anti Korupsi (Gerak) dan Pemuda Umno Selangor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa menteri besar itu menggunakan wang kerajaan bagi membiayai kos penyelenggaraan kenderaan itu, bernombor pendaftaran WQR 779.

"Saya telah meminta peguam saya menelitinya (laporan) dengan mengambil kira penggunaan maklumat yang boleh menjadi fitnah dan pada masa sama saya telah meminta pengarah kewangan negeri untuk membuat laporan supaya apa yang kami akan lakukan semuanya telus.

"Anda cuma tahu sebahagian ceritanya sahaja dan anda membuat dakwaan yang tidak wajar," Abdul Khalid dipetik berkata.

Disoal alasan beliau tidak menggunakan Toyota Camry yang baru dibeli kerajaan Selangor sebagai kenderaan rasmi, Abdul Khalid dilaporkan berkata:

"Saya lebih selesa dengan Lexus sebab itu saya tidak gunakan Camry sebagai kereta rasmi."

ADS