mk-logo
Berita
Pilihanraya kecil di Bukit Selambau?
Diterbitkan:  Feb 8, 2009 5:00 PM
Dikemaskini: Feb 9, 2009 1:48 AM

Sumber-sumber PKR memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR di Kedah, V Arumugam telah mengemukakan surat peletakan jawatan, dan memberi laluan untuk pilihanraya kecil diadakan bagi kerusi Bukit selambau.

Difahamkan Arumugam tunduk ekoran dakwaan tekanan hebat terhadapnya dan keluarganya supaya melompat menyertai Barisan Nasional (BN).

Arumugam Vengatarakoo pkr kedah Arumugam, 54, tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan perkara itu, tetapi sumber-sumber tertinggi PKR berkata, parti itu akan membuat kenyataan mengenainya hari ini.

Difahamkan juga Arumugam telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam dan kini berada di luar negeri.

Peletakan jawatan Arumugam, jika disahkan hari ini, akan mengesahkan spekulasi sepanjang bulan ini bahawa beliau mahu atau dipaksa menyertai BN.

Awal bulan ini, Arumugam telah membuat laporan polis mendakwa, antara lain, terdapat percubaan untuk menculiknya.

Arumugam juga mendakwa beliau dan pegawainya telah menerima banyak ugutan.

"Semua ini dilakukan untuk memaksa saya meninggalkan PKR dan menyertai BN," dakwanya dalam laporan polisnya itu.

Katanya, selain ugutan, beliau juga ditawarkan dengan tawaran lumayan untuk memujuknya meninggalkan PKR.

Minggu lalu, desas-desus timbul semula mengenai Arumugam akan meninggalkan PKR, apabila beliau tidak dapat dihubungi. Rakan-rakannya dalam PKR berkata Arumugam sedang bercuti.

Kedah turut tumbang kepada pembangkang dalam pilihanraya umum lalu.

Pakatan Rakyat memerintah selepas memenangi 22 daripada 36 kerusi di DUN negeri. BN pula mempunyai 14 kerusi.

Daripada 22 kerusi tersebut, 16 dimenangi PAS, PKR (5) dan DAP (1).

Arumugam yang bertanding sebagai calon bebas, kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sbagai ahli exco kerajaan negeri. Berita asal

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS