Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tarik balik waran tangkap Osman
Diterbitkan:  Feb 10, 2009 10:28 AM
Dikemaskini: 11:44 AM

kemaskini 3:49pm Mahkamah Majistret Ipoh mengeluarkan waran tangkap terhadap Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu kerana tidak hadir kes rasuah projek pembangunan bernilai RM180 juta.

Bekas Adun PKR itu, yang kini wakil rakyat bebas, sedang menghadapi perbicaraan kes rasuah bersama seorang lagi rakannya Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) - yang juga tidak hadir.

Jamaluddin menyerahkan sijil sakitnya kepada mahkamah, tetapi Mohd Osman tidak berbuat demikian.

Petang ini, mahkamah dilaporkan menarik balik waran tersebut selepas peguamnya menyerahkan surat yang menyatakan beliau tidak sihat.

Beliau dibenarkan keluar Hospital Selayang, Selangor tengah hari ini selepas dirawat mulai semalam.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mendakwa beliau, menafikan telah menarik balik waran tersebut.

Waran tangkap juga dikeluarkan terhadap ahli perniagaan Usaili Alias, seorang ahli jawatankuasa perhubungan PKR Perak, atas alasan yang sama.

Menurut Bernama , waran ini bagaimanapun dibatalkan selepas Usaili muncul di mahkamah itu - setelah kes dipindahkan kerana tiada hakim di mahkamah sesyen - sejam kemudian.

Mohd Osman, Jamaluddin, Usaili dan dua orang lagi - juruteknik

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Ruslan Sahat dan bekas anggota Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan - menghadapi 16 pertuduhan menerima dan meminta rasuah berkaitan projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dekat Ipoh.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan di Restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Ipoh dan di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Summit Hotel, Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara 14 hingga 19 Ogos tahun lepas.

Zul juga didakwa menerima rasuah seorang perempuan bagi tujuan mengadakan hubungan seks pada 8.10 malam 14 Ogos lepas di Sri Sayang Apartment di Pulau Pinang.

PKR mendakwa pertuduhan rasuah terhadap Mohd Osman dan Jamaluddin akan digugurkan sekiranya mereka melompat kepada BN.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan ke 15 dan 16 Feb.

ADS