Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan cuti ahli exco kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong sementara menunggu siasatan polis selesai, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan semua exco kerajaan negeri yang berkaitan dalam mesyuarat exco hari ini.

Abdul Khalid berkata, sepertimana yang telah dititahkan Sultan Selangor, kerajaan negeri akan membuat keputusan yang adil serta mengambilkira kepentingan rakyat khasnya dan negeri Selangor amnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sultan Selangor menyerahkan kepada Abdul Khalid untuk memutuskan kedudukan Elizabeth yang gambar bogelnya disebarkan kepada umum baru-baru ini.

Perkara itu dinyatakan semasa Abdul Khalid menghadap baginda hari ini untuk mendapat nasihat mengenai kedudukan Elizabeth yang menawarkan diri untuk meletakkan jawatan ekoran kontroversi tersebut.

Baginda mengambil keputusan itu memandangkan isu Elizabeth masih dalam siasatan polis dan sebagai Sultan Selangor, baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik,

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco petang tadi, Abdul Khalid berkata, beliau menjunjung kasih kepada Sultan Selangor atas kepercayaan penuh baginda kepada beliau dan barisan exconnya untuk memutuskan status Elizabeth.

Pencerobohan hak peribadi

"Kerajaan negeri juga amat berbesar hari dengan kebijaksanaan Tuanku Sultan dalam memberi pendapat tentang pencerobohan hak peribadi individu.

"Sebagai titah Tuanku Sultan, perbuatan menceroboh hak peribadi seseorang individu adalah menyedihkan, lebih-lebih lagi jika ianya digunakan untuk kepentingan politik," katanya.

Menurut Abdul Khalid, beliau menghadap Sultan Selangor hari ini dan memberi taklimat kepada baginda mengenai hal ehwal pentadbiran termasuk derma lembu dan tuntutan selenggaran kereta persendirian.

"Tuanku Sultan Selangor telah menyatakan pendirian untuk tidak membantah penggunaan kereta peribadi sebagai kenderaan rasmi jika semua prosedur undang-undang dipatuhi," katanya.

Menurutnya, beliau juga telah memaklumkan kepada baginda bahawa beliau (Abdul Khalid) telah mengikuti proses undang-undang yang telah ditetapkan.

"Mengenai isu derma lembu korban pula, Tuanku Sultan tidak ada apa-apa halangan terhadap usaha sedekah, malah menggalakkan segala usaha kebajikan ini diteruskan dan dipanjangkan kepada kawasan Kuala Lumpur, termasuk Bandar Tun Razak," katanya.

Sehubungan itu, kata Abdul Khalid, beliau akan menulis surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapat penjelasan suruhanjaya itu berikutan kenyataan ketua pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Said Hamdan baru-baru ini.

Minta penjelasan GERAK

"Dalam pada itu, satu proses undang-undang akan diambil terhadap pengerusi GERAK atas segala tohmahan salahguna kuasa seperti yang disiarkan di media," katanya.

Menteri besar berkata, beliau akan menghantar surat kepada GERAK minggu depan untuk meminta penjelasannya mengenai tohmahan yang dibuat terhadapnya itu.

Sebelum ini, GERAK telah membuat laporan kepada SPRM terhadap Abdul Khalid yang didakwanya menyalahguna kuasanya dalam pembelian lembu korban dan penyelenggaran kereta peribadinya.

Jika tidak mendapat balasan, kata Abdul Khalid, beliau akan menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Sementara itu, Abdul Khalid juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang atas sokongan padu kepada beliau dan kepimpinan negeri Selangor ekoran isu dakwaan salahguna kuasa yang menurutnya dicanangkan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab akhir-akhir ini.

"Sokongan ini menunjukkan kekuatan ikatan Pakatan Rakyat cukup padu tetapi sedang cuba dirungkai oleh sekumpulan yang dilihat berkepentingan politik murahan demi meraih populariti.

"Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat dalaman bagi membincangkan setiap isu ini. Setiap pandangan yang berbeza berkaitan isu ini akan dibincangkan secara telus dan ilmiah bersama semua kepimpinan," katanya.

ADS