Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz kecam keceluparan Karpal
Diterbitkan:  Feb 26, 2009 4:17 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir hari ini mengecam sekeras-kerasnya keceluparan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh menggunakan kata-kata kesat terhadap pergerakan Pemuda Umno di Parlimen kelmarin.

"Beliau bukan sahaja telah melanggar peruntukkan 36 (4) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang tidak membenarkan kata-kata kesat digunakan sewaktu perbahasan di dalam Dewan, malah ianya berunsur fitnah dan pembohongan apabila menuduh pergerakan Pemuda Umno sebagai membuat ancaman jenayah dengan menghantar dua butir peluru kepadanya," kata Mukhriz yang juga exco Pemuda Umno dalam satu kenyataan.

mukhriz pemuda umno 050906 conform Beliau mendakwa Karpal sengaja cuba mengalih perhatian rakyat terhadap penderhakaan beliau kepada Sultan Perak.

"Maka saya dengan tegasnya mendesak pengerusi kebangsaan DAP itu untuk mengakui kedaulatan Raja-Raja Melayu dan menyanjung Sistem Raja Berpelembagaan.

"Kegagalan berbuat demikian membuktikan bahawa YB Karpal Singh mengkhianati Rukunegara dan Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru, saya menggesa pihak berkuasa agar segera menahan dan mendakwa YB Karpal Singh di bawah Akta Hasutan 1948 jika beliau terus enggan berganjak daripada sikap penderhakaan ini," tegasnya.

Pada masa yang sama, menurut Mukhriz, beliau juga ingin berpesan kepada Karpal agar jangan terlalu besar kepala sehingga tidak menghormati Raja-raja Melayu.

"Kenyataannya bahawa "Singh is King" menunjukkan bahawa beliau sudah terlalu takbur sehingga menganggap dirinya seorang Raja mengatasi kedaulatan Raja-Raja Melayu yang sudah bertakhta sejak turun temurun.

"Bak kata pepatah Melayu, "Telajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa;, keceluparan beliau adalah provokasi yang tidak diundang.

"YB Karpal Singh nyata tidak langsung menghormati mahupun mengendahkan tatasusila mesyuarat dan kesopanan Dewan Rakyat," tambahnya.

Menurut Mukhriz, walaupun Karpal akhirnya menarik balik kenyataan yang telah dibuat, tetapi beliau menggesa pengerusi kebangsaan DAP itu digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk suatu tempoh yang dianggap wajar "sebagai sempadan yang mesti diawasi oleh ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Dewan Rakyat".

ADS