mk-logo
Berita
Portfolio agama Fairus diserahkan kepada Malik
Diterbitkan:  Mar 2, 2009 7:00 AM
Dikemaskini: 11:12 AM

Tindakan memindahkan portfolio agama kepada seorang lagi exco PKR dalam kerajaan Pulau Pinang bukan bermakna Timbalan Ketua Menteri Mohammad Fairus Khairuddin tidak mencapai prestasi yang baik.

Ketua perhubungan PKR negeri Datuk Zahrain Mohamed Hashim menegaskan, tindakan itu tiada kaitan dengan prestasi wakil rakyat Penanti itu dan ia hanya diambil bagi meringankan bebannya, lapor Bernama .

fairus khairuddin and penang Tambahnya, tanggungjawab Mohammad Fairus saat ini agak berat kerana beliau mempengerusikan beberapa portfolio lagi iaitu pembangunan usahawan, koperasi, penerangan dan perhubungan masyarakat.

Portfolio agama kini diserahkan kepada Abdul Malik Abul Kassim yang juga wakil rakyat Batu Maung - pemimpin PKR yang dianggap pencabar terdekat Mohammad Fairus dalam kerajaan dan parti.

"Rombakan ini telah saya persetujui selepas berbincang dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan tidak salah memberikan tugas mengetuai portfolio agama itu kepada Abdul Malik kerana beliau hanya mengetuai dua jawatankuasa sahaja iaitu perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna," kata Zahrain kepada agensi berita itu.

Beliau diminta mengulas mengenai rombakan itu dan spekulasi bahawa rombakan tersebut dibuat berdasarkan prestasi Mohammad Fairus yang tidak menyerlah.

Katanya, beliau menyedari wujud bermacam-macam dakwaan negatif di blog terhadap prestasi Mohammad Fairus tetapi menegaskan bahawa semua dakwaan itu tidak mempunyai bukti kukuh.

"Saya memang dengar macam-macam cerita mengenai Fairus tetapi kena ada bukti kukuhlah," Zahrain dipetik berkata.

"Kalau setakat menulis dalam blog, saya rasa itu tindakan yang kurang sesuai sebaliknya pihak yang mendakwa itu perlu membuat aduan secara rasmi sama ada kepada parti mahupun pihak berkuasa yang berkaitan jika dakwaan mereka melibatkan soal penyalahgunaan kuasa."

Barisan exco kerajaan negeri dianggotai 11 pemimpin yang mana tiga daripadanya diwakili pemimpin PKR manakala bakinya daripada DAP.

Prestasi Mohammad Fairus menjadi subjek perbincangan umum apabila beberapa pegawainya meletakkan jawatan dan diserang secara intensif melalui blog, selain ditegur secara terbuka oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahrain menambah, PKR negeri menubuhkan pasukan petugas khas memantau prestasi semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), anggota parlimen dan ahli majlis kerajaan tempatan bagi memastikan sumbangan mereka berkesan kepada kerajaan negeri dan rakyat.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini